BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Memaparkan catatan dengan label Pembahagian Malu... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembahagian Malu... Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2009

Komponen Emosi Malu

Emosi malu menjadi kental sekiranya si malu mempercayai dirinya serba kekurangan untuk tampil di khalayak dan penampilan tersebut akan menelanjangi kekurangannya kepada orang lain (Berman, 1999). Wujudlah perasaan gerun di khalayak dan si malu mengalami kesekatan sosial (social inhibition).

Mereka berasa risau jika membuat sesuatu yang bodoh, bahlul atau silap yang akan dihina serta mendapat keaiban atau ditolak. Dalam keadaan ini, si malu mengalami peningkatan kesedaran-kendiri (self-consciousness), kebimbangan (anxiety), kebungkaman (reticence) dan kesekatlakuan sosial (social inhibition).

Kebimbangan daripada jenis 'kebimbangan sosial' berkait rapat dengan perasaan malu. Ia tercetus ketika seseorang berasa gugup direnung oleh orang lain (Cottle, 1999). Kebimbangan sosial boleh muncul daripada paras rendah hingga ke tahap yang melampau.

Contohnya, kebimbangan yang rendah ialah perasaan takut kepada situasi sosial tertentu seperti takut hendak menggunakan tandas awam atau berpidato; dan kebimbangan yang melampau ialah ketakutan yang dipanggil 'fobia sosial'. Fobia sosial yang berkait dengan perasaan malu adalah daripada jenis kebimbangan perlakuan (performance anxiety) dan ketakutan pentas (stage fright).

Perasaan malu daripada jenis ini benar-benar menjadi fobia dan penyakit jiwa jika ketakutan yang dialami seseorang dalam situasi yang dihadapinya tidak kendur; malahan menjadi kian buruk sehingga mengganggu utauan, ujaran, pidato atau penyampaian (Colby, 2000).

Asas kekhuatiran komunikasi terbentuk jika seseorang dilemparkan dengan terlalu banyak teguran sejak dia mula belajar bercakap sehingga dia percaya bahawa dia hanya akan mendapat reaksi negatif dan secara konsekuen mengelak reaksi negatif tersebut dengan cara menjadi pendiam, berbual dengan buruk, mengelak komunikasi lisan dan seterusnya mengalami kekhuatiran komunikasi. Seseorang yang mengalami kekhuatiran komunikasi mudah tersekat perbualannya sehingga muncullah perasaan malu, suka bungkam dan seterusnya mengalami kesekatlakuan perbualan (Holbrook, 1987).

Akhir sekali, terdapat perasaan yang diistilahkan sebagai 'malu sinis' (cynical shyness) oleh Carducci (2000). Beliau menjelaskan si malu merupakan orang yang disingkirkan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial. Mereka berasa amat marah, menyisihkan diri dan mengambil sikap superior. Pengasingan diri menutup pintu bagi mereka untuk berempati dengan orang lain, dan ini menjadikan mereka menghina orang lain dan membalas dendam kepada orang lain terhadap penyisihan yang mereka sendiri lakukan dengan menyemarakkan perasaan sinis (Carducci, 2000).

Rabu, 26 Ogos 2009

Malu ke Tak??

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.. Semoga kawan-kawan sentiasa dalam lindungan Allah Ta'ala.

Banyak orang yang terbiasa mengucapkan kalimat, "Malu la!" yang merupakan ungkapan untuk mengecam dan diarahkan kepada orang yang menentang syari'at Allah subhanahu wata'ala, melakukan sesuatu yang diharamkan-Nya dan kurang berlaku sopan terhadap sesama manusia dalam bentuk apa pun.! Benar,sesungguhnya itu adalah ungkapan yang memiliki makna dan misteri.

Namun begitu, terkadang kita tidak mengetahui makna malu itu sendiri, malah sebahagian kita tidak memahami perbezaan antara malu 'syar'i' dan malu bukan 'syar'i', demikian juga malah ada di kalangan kita yang tidak mengenal nilai malu tersebut.! Jadi, di harapkan maklumat yang disampaikan akan menjadi input yang berguna kepada kawan-kawan sekalian.

DEFINISI MALU
Kata malu dalam bahasa Arab bererti hidup. Menurut istilah yang disimpulkan oleh para ulama, malu itu adalah sebuah akhlak atau perangai yang memberikan motivasi kepada orang yang memilikinya untuk meninggalkan segala keburukan, dan akan membentengi dirinya dari kecerobohan dalam menunaikan hak kepada para pemilik hak tersebut. (Fathul Bari 1/68)

PEMBAHAGIAN MALU
Malu bila dilihat dari wujud kemunculannya pada seseorang terdiri dari dua iaitu malu yang terpuji dan malu yang tercela. Malu yang terpuji adalah malu yang menjadi pendorong untuk berbuat kebaikan dan membentengi diri dari berbuat keburukan. Malu yang tercela ialah malu yang menjadi penghalang bagi seseorang dalam melakukan kebaikan. Tepuk dada Tanya hati!!! Adakah kita dalam golongan malu yang terpuji atau tercela???

Malu yang terpuji :
1. Malu kerana membuat salah seperti malunya Nabi Adam a.s kepada Allah s.w.t di saat Adam a.s di syurga.
2. Malu kerana keterbatasan diri seperti rasa malu malaikat yang sentiasa bertasbih siang dan malam hari.
3. Rasa malu kerana memiliki sifat makrifat.
4. Malu kerana kehalusan budi seperti rasa malu Rasullah s.a.w saat mengundang orang pada acara walimah Zainab. Disebakan orang itu tidak segera pulang maka beliau bangun dari duduknya dan merasakan malu untuk berkata “Pulanglah kalian”.
5. Malu kerana menjaga kesopanan seperti malunya Ali bin Ab Thalib ketika hendak meminta baju besi dari Rasullah s.a.w kerana dia menjadi suami kepada puteri beliau.
6. Malu kerana merasa diri terlalu hina seperti malunya hamba yang sentiasa memohon pelbagai permintaan kepada Allah s.w.t
7. Malu kerana melakukan kemuliaan ialah apabila melakukan kebajikan merasa malu dan tidak merasa riak memberitahu kepada orang lain.
8. Malu terhadap diri sendiri kerana merasakan diri banyak kekurangan dalam beramal.
9. Malu kerana cinta. Perasaan cinta kepada Allah adalah yang paling agung tapi tidak ramai yang mempunyai perasaan ini sebaliknya lebih mementingkan percintaan terhadap manusia lebih dari pencipta kita sendiri.

Malu yang tercela :
1. Malu dalam mencari ilmu.
Perkara ini sering berlaku kepada kita. Kita malu untuk bertanya kerana khuatiri akan dikatakan tidak pandai oleh kawan-kawan.
2. Malu bertanya perkara yang tidak tahu
Oleh sebab itu, Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshor, rasa malu tidak menghalangi mereka untuk memahami agama (tidak menghalangi mereka untuk bertanya).” (Fathul Bari 1/351)
Imam Mujahid rahimahullah berkata: “Tidak akan mempelajari ilmu orang yang malu dan sombong.” (Fathul Bari 1/351)
3. Malunya seorang wanita untuk mengenakan jilbab (tudung)
Banyak kaum wanita hari ini yang merasa malu bila mengenakan jilbab. Padahal wanita yang memiliki rasa malu tidak akan rela jika auratnya terbuka, karena aurat adalah sesuatu yang menimbulkan seseorang merasa malu. Apabila seorang wanita sudah tidak lagi merasa malu ketika terlihat auratnya maka secara automatik hilanglah hakikat kehormatannya.
4. Malunya seseorang untuk meninggalkan adat kebanyakan orang (yang bertentangan dengan Islam).
5. Malunya seorang wanita apabila tidak bekerja di luar rumah.
6. Malunya seorang wanita bila tidak bergaul iaitu bebas bergaul dengan siapa saja dan dengan pergaulan macam manapun, termasuk bergaul dengan lelaki yang bukan muhrim.

KARAKTER MANUSIA YANG MALU :

1.Menjaga kepala dan sekitarnya. Yang dimaksud dengan menjaga kepala dan sekitaranya adalah :
a. Menjaga indera penglihatannya agar jangan sampai melihat kepada yang haram, mencari-cari kesalahan orang lain dan hal-hal lain yang diharamkan Allah swt
b. Menjaga indera pendengaran dengan menggunakannya untuk mendengarkan bacaan Al Quran, mendengarkan pengajian dan menjauhi mendengarkan hal yang lagha.
c. Menjaga lisan dengan mempergunakannya untuk zikrullah, memberi nasihat, menyampaikan dakwah dan menjauhi segala ucapa yang diharamkan seperti adu domba, mengumpat, menghina orang lain.
d. Menjaga mulut dengan membiasakan menggunakan siwak, memasukkan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram. Menjauhi tertawa berlebihan.
e. Menjaga muka dengan membiasakan bermuka manis, tersenyum dan ceria setiap kali bertemu kawan.
f. Menjaga akal dengan menjauhi pemikiran yang sesat seperti pemikiran muktazilah, sekuler, islam liberal.

2. Menjaga perut dan seisinyaYang dimaksud dengan menjaga perut seisinya adalah:
a. Menjaga hati dengan menanamkan keikhlasan dan melakukan muhasabah serta menjauhi penyakit hati seperti riya, ujub, sombong, kufur, syirik.
b. Menjaga saluran pernafasan dengan tidak merosak saluran pernafasan seperti merokok dsb.
c. Menjaga kemaluan dengan menjauhi apa-apa yang diharamkan Allah seperti perzinaan.
d. Menjaga saluran pencernaan dengan hanya memasukkan makanan dan minuman yang halal saja.
3. Mengingat mati dan hari kiamat.
Mengingat mati akan membawa kita kepada upaya untuk meningkatkan ketakwaan . Orang yang berbahagia adalah orang yang senantiasa melupakan kebaikan, mengingat dosa, mengingat kematian, melihat orang yang lebih rendah di bidang dunia dan melihat orang yang lebih baik dalam bidang akhirat. Orang yang mengingat kematian akan terdorong untuk menyiapkan bekalan menuju akhirat dan malu melanggar larangan Allah.
4. Menjadikan akhirat sebagai tujuan akhir.
Rasa malu itu merupakan benteng manusia dari perbuatan buruk. Orang yang memiliki rasa malu terhadap Allah akan menghalangi diri dari pelanggaran agama. Orang yang malu terhadap manusia akan menjauhi semua sikap buruk manusia. Bila rasa malu ini hilang dari seseorang maka kita tidak akan peduli lagi terhadap perbuatan dan ucapan yang diperkatakan.

Sebenarnya, banyak sangat hadis dari Rasullah s.a.w yang mengutarakan mengenai pentingnya malu dalam Islam. Jom kita tengok hadis-hadis yang telah kami pilih.

1. “Rasa malu tidak mendatangkan selain kebaikan. Busyair bin Ka′b berkata: Dalam kata-kata bijak tertera :”Sesungguhnya rasa malu memiliki keagungan dan dalam rasa malu terdapat ketenangan” (diriwayatkan oleh HR Bukhori dan Muslim)
2. “Iman terdiri dari enam puluh cabang lebih dan rasa malu sebahagian cabag dari iman (diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim)
3. “Biarkanlah ia memiliki rasa malu kerana malu itu termasuk dalam keimanan” (diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim)
4. “Iman dan rasa malu merupakan pasangan dalam segala situasi dan kondisi. Bila rasa malu tidak ada maka imanpun akan sirna”( diriwayatkan oleh HR Al Hakim)
5. “Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak Islam adalah rasa malu”. (diriwayatkan oleh Anas r.a)
6. “Sesungguhnya Allah azza Wajalla apabila hendak menghancurkan seorang hamba menarik darinya rasa malu, apabila rasa malu telah ditarik maka tidaklah kau jumpai dia kecuali dalam keadaan tercela dan dibenci, Bila sudah tercela dan dibenci maka akan ditarik darinya sifat amanah. Apabila sifat amanah telah ditarikmaka tidak kau jumpai dia kecuali menjadi seorang yang pengkhianat, bila sudah menjadi pengkhianat maka ditarik darinya sifat kasih sayang. Bila sifat kasih sayang telah ditarik darinya maka tidak kau jumpai dia kecuali dalam keadaan terlaknat dan bila dalam keadaan terlaknat maka akan ditarik ikatan islam darinya.(diriwayatkan oleh Ibnu Umar)
7. “Tidaklah ada suatu kekejian pada sesuatu perbuatan kecuali akan menjadinya tercela dan tidaklah ada suatu rasa malu pada sesuatu perbuatan kecuali akan menghiasinya”. (diriwayatkan oleh Anas r.a)
8. “Sesungguhnya dalam dirimu terdapat dua sifat yang dicintai Allah yaitu kesabaran dan rasa malu”. (diriwayatkan oleh Ibnu Abbas)

Khamis, 13 Ogos 2009

MALU SEBAGAI PERASAAN

Malu sebagai perasaan merujuk kepada istilah “rasa malu”. Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara ini termausklah, “berasa aib”, “rasa segan” dan juga “segan silu”. Secara umumnya, malu merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak sertimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Individu yang mengalami perasaan begini selalunya menganggap dirinya lebih kecil dan hina daripada orang lain yang dianggapnya mempunyai serba kelebihan pula.

Malu merupakan sesuatu yang berpunca. Berdasarkan puncanya malu boleh dibahagikan kepada tiga jenis seperti di bawah:
malu-malu bahasa
segan
aib
M.A.L.U - M.A.L.U B.A.H.A.S.A
Malu-malu bahasa merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perasaan hormat. Perasaan malu-malu bahasa timbul apabila seseorang itu berhadapan dengan orang yang dihormati. Perasaan malu ini agak sederhana dan tidak sampai boleh menyakiti hati seseorang.
S.E.G.A.N
Segan merujuk kepada perasaan malu yang timbul daripada perbuatan janggal. Perasaan segan timbul, apabila seseorang tidak biasa melakukan perkerjaan tertentu sehingga timbul keadaan yang janggal. Biasanya ia timbul apabila seseorang “baru” dalam pekerjaan tertentu. Misalnya seseorang akan berasa segan untuk bertutur kepada orang yang tidak dikenali, lebih-lebih lagi jika beliau jarang untuk berbuat demikian. Perasaan segan walaupun tidak menyenangkan hati seseorang tetapi tidaklah ia sampai menyakit hati.
A.I.B
Aib merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perbuatan yang jahat. Perasaan aib merupakan malu yang kuat. Biasanya ia timbul apabila seseorang menyedari dirinya telah melakukan dosa dan perbuatannya itu telah terbongkar dan diketahui umum. Perasaan aib ini sangat berkait dengan penghinaan. Orang yang berasa aib mungkin akan melakukan tindakan yang estrim seperti membunuh diri.

MALU SEBAGAI TANDA HARGA DIRI

Dari segi kehidupan bermasyarakat, perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga diri dan air mukanya seseorang. Orang yang beroleh malu bermaksud bahawa maruah, harga diri dan air mukanya telah tercemar. Dalam keadaan ini, kedudukan sosialnya telah terjejas dan menjadi rendah. Ketercemaran ini berpunca daripda perlakuannya sendiri dan juga oleh tekanan sosial.
Malu dianggap sebagai tanda harga diri kerana dikatakan seseorang itu dapat merasai maruah dan harga dirinya apabila beliau mempunyai perasaan malu. Sehubungan itu, malu merupakan sesuatu yang sihat bagi orang yang bermaruah kerana perasaan ini sebenarnya dapat mendorong seseorang untuk menjaga maruah dan harga diri.

Bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan malu, mereka lazimnya dianggap orang yang tidak tahu harga diri. Pemerian untuk mereka ini ialah “Tidak tahu malu” dan “muka tebal”. Orang yang tidak tahu malu biasanya merupakan kejian orang ramai dalam masyarakat Melayu.
Perasaan malu sebagaimana yang dikaitkan dengan maruah, dan harga diri amat penting dipupuk kepada anggota-anggota masyarakat. Dengan memberi kesedaran mengenai perasaan malu yang ada pada diri seseorang itu boleh menjadi penghalang atau benteng yang penting bagi anggota masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang dianggap menyeleweng.

MALU SEBAGAI FUNGSI KAWALAN SOSIAL

Masyarakat Melayu menyedari bahawa malu merupakan satu fungsi kawalan sosial dengan adanya perpatah yang berbunyi - Kerana malu tahu menilai batas

Malu merupakan satu perasaan negetif yang timbul daripada kesedaran diri seseorang mengenai perlakuan yang tidak senonoh. Daripada itu, seseorang akan mengelakan diri daripada perlakuan yang buruk bagi mengelakkan diri daripada beroleh malu. Dari segi ini, malu sememangnya boleh mengawal tingkah laku seseorang dan dengan itu memainkan fungsi kawalan sosial.

Masyarakat Melayu yang hidup secara berkeluarga juga menguatkan lagi fungsi malu sebagai kawalan sosial. Dalam masyarakat Melayu seseorang itu bukan sahaja akan menanggung malu daripada perbuatannya sendiri malah akan menanggung malu daripada perbuatan ahli keluarganya. Ini adalah kerana keluaraga Melayu yang mempunyai perasaan kekitaan terhadap keluarganya sendiri dan juga kerana masyarakat Melayu menganggap bahawa seseorang itu terikat kepada keluarganya. Misalnya, seorang anak akan menyebabkan ibu bapa mereka malu sekiranya ia telah melakukan sesuatu yang jahat seperti mencuri. Dalam peribahasa Melayu, tindakan anak ini diperikan sebagai “menconteng arang di muka ibu bapa”.

Bagi mengelakkan diri mereka menanggung malu seseorang itu akan cuba mengawal ahli keluarga mereka supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk. Di sini, sekali lagi kita boleh lihat bahawa malu telah memainkan satu fungsi kawalan sosial
Kesedaran mengenai malu sebagai fungsi kawalan sosial juga boleh dilihat dari segi manipulasi konsep malu dalam puisi Melayu lama. Di sini, konsep malu telah digunakan untuk menasihati orang ramai supaya berkelakuan baik. Contohnya:

Buah ganja makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Barang Kerja hendak difikir
Supaya Jangan mendapat malu
Dan satu lagi contoh:
Tingkah laku tidak kelulu
Perkataan kasar keluar selalu
Tidak memikirkan aib dan malu
Bencilah orang hilir dan hulu

Puisi-puisi Melayu Lama di atas telah menasihatkan orang ramai supaya mengingatkan perasaan malu supaya mereka berkelakuan baik. Di sini kita boleh lihat bahawa adanya satu kesedaran mengenai malu sebagai satu fungsi kawalan sosial dalam masyarkat Melayu.

MALU SEBAGAI PEMANGKIN KEJAYAAN

MALU adalah sifat semula jadi anugerah Tuhan kepada manusia. Umumnya, seseorang yang pemalu juga pendiam dan mungkin penakut serta lebih suka menyendiri dan mengasingkan diri daripada sebilangan besar masyarakat. Sifat malu yang berpada-pada amatlah dituntut oleh Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." Sementara itu, rasa malu yang keterlaluan dan tidak terkawal mampu mengundang kemudaratan. Malah, boleh menjadi simptom penyakit yang memerlukan rawatan khusus.

Begitu juga, tiadanya sifat malu dalam diri seseorang akan turut mendatangkan pelbagai keburukan, bukan saja kepada orang itu, malah seluruh masyarakat.
Ini kerana sifat malu itu walaupun menjadi milik peribadi, turut dikongsi oleh setiap anggota masyarakat.
Bayangkan apa akan berlaku jika sifat malu ini tiada dalam sesebuah masyarakat. Tentu akan runtuh nilai akhlak dan perilaku moral mereka.
Perbincangan dalam tulisan ini cuba melihat sifat malu dari beberapa aspek yang secara khususnya berkait rapat dengan kesejahteraan diri dan masyarakat.
Sebenarnya malu adalah sifat dalam diri kita yang di antara lain akan membantu untuk tidak bertindak di luar batasan akhlak dan moral yang diterima masyarakat. Kerap kali juga kita mendengar seseorang yang berjaya dalam akademik dan kerjaya sebenarnya seorang pemalu.

Mereka malu apabila tidak dapat mencapai kejayaan dalam hidup seperti orang lain. Dalam keadaan ini, sifat malu didapati mendorong atau meningkatkan daya motivasi seseorang untuk mencapai kebahagiaan hidup dan inilah yang sewajarnya berlaku.
Namun, ada juga keadaan mereka yang bersifat malu, namun tetap bertindak di luar batasan perilaku normal. Malah tidak kurang juga peristiwa menyayat hati yang dilaporkan berlaku seperti kejadian bunuh diri atau membunuh orang lain membabitkan seseorang yang dikatakan sebagai pendiam dan pemalu.

Memang ada alasan tertentu mengapa mereka bertindak demikian. Oleh itu, kita sewajarnya berwaspada dalam memelihara batasan perbuatan agar tidak tersasar daripada landasan yang betul. Cubalah renungkan maksud hadis yang dapat memberi banyak maksud tersirat ini.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Hassan al-Basri bermaksud: Sifat malu itu ada dua bahagian, bahagian dari iman dan bahagian dari kelemahan.
Kerana itu, seseorang perlu terlebih dulu mendalami diri dan keadaan malunya sebelum mampu mengatasi sifat itu. Kemudian adalah wajar dia menyingkap, adakah sifat malu berkenaan bertepatan dengan masa dan tempat? Atau sebaliknya, sebelum boleh melakukan pelbagai kegiatan berkesan bagi mencegah dan mengatasinya. Seseorang yang memiliki sifat malu secara keterlaluan dilihat juga sebagai seorang yang mudah berasa takut, bimbang, cemas dan runsing. Kebiasaannya ketakutan akan melanda apabila mereka terpaksa berhadapan dengan seseorang yang disegani, tidak dikenali atau apabila diminta memberi pendapat di khalayak ramai.

Mereka amat risau jika pendapat mereka dikritik atau tidak diterima orang lain.
Perasaan malu ini, akhirnya menyebabkan mereka terkaku serta tidak dapat memberikan pendapat, lalu mula menghindari sebarang interaksi dengan orang lain dan pelbagai kegiatan sosial lain.

Keadaan ini juga biasanya akan menekan fikiran dan emosi serta kehidupan mereka. Mereka mula berasa menyesal dan sedih atas masalah ini.
Selain itu, ada yang berasa malu keterlaluan kerana risau dengan penampilan imej diri dan cara mereka berkomunikasi dengan khalayak. Malah tidak kurang yang berasa terlalu malu terhadap latar belakang sendiri, terutama mereka daripada keluarga miskin dan bermasalah atau berpenyakit mental, jangkitan HIV/Aids dan sebagainya. Mereka bimbang terhadap tanggapan negatif orang ramai terhadap diri mereka.

Pendek kata, sifat malu secara keterlaluan itu datang daripada pelbagai punca berlainan dan berkaitan pula dengan rasa bimbang, takut dan cemas.
Golongan seperti ini memerlukan satu bentuk program pemulihan dan peningkatan keyakinan diri melalui kaedah latihan dan kaunseling.
Seterusnya kita bincangkan pula beberapa sebab seseorang itu mempunyai sifat malu secara berlebihan berbanding orang lain.

Simptom dan reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang memiliki sifat malu secara melampau ini sebenarnya sama walaupun berpunca daripada sebab berbeza. Contohnya, mereka pasti takut, cemas dan bimbang serta suka menyendiri dan tidak mudah untuk berinteraksi dengan orang ramai. Begitu juga, sukar menyesuaikan diri, tiada keyakinan diri dan kurang berani menyuarakan pendapat secara bebas di khalayak ramai.
Soalnya, mengapa keadaan ini berlaku? Ada beberapa perkara yang seharusnya diberi perhatian jika seseorang memiliki sifat malu secara keterlaluan yang mengganggu proses kehidupannya secara normal.
Dalam kebanyakan masa, mereka yang bersifat malu secara melampau mempunyai pelbagai bentuk pemikiran negatif dan tidak membina. Pemikiran negatif ini dijadikan kayu ukur dalam menilai diri sendiri, orang lain dan kehidupan secara keseluruhan. Bentuk pemikiran seperti ini harus dikenal pasti dan setakat mana ia menyumbang kepada sifat malu yang ada, wajar diperhalusi. Seterusnya ia perlu diubah supaya menjadi lebih positif, menyenang dan meningkatkan keyakinan diri.
Pss..: Kita perlu memiliki sifat malu, tetapi bukannya seorang yang pemalu secara tidak bertempat atau keterlaluan. Ini kerana tanpa disedari kita yang akan menggelapkan masa depan sendiri akibat kejahilan dan kekurangan yang tidak diperbaiki.