BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Memaparkan catatan dengan label Hadith... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadith... Papar semua catatan

Ahad, 6 September 2009

Kenapa Perlu Malu??


Rasa malu bagi seseorang merupakan daya kekuatan yang mendorongnya menjauhi segala perilaku tidak patut dilakukan olehnya. Orang yang memiliki watak malu adalah orang yang cepat mengelakkan diri daripada segala bentuk kejahatan. Sebaliknya, yang tidak memiliki rasa malu bererti dia tetap tenang walaupun melakukan kejahatan.

Islam menilai, watak malu itu sebagai sebahagian dari iman. Dengan demikian, orang yang tidak mempunyai rasa malu adalah orang yang hilang imannya. Orang hidup bermasyarakat sudah tentu harus mendengarkan apa kata masyarakat tentang dirinya. Para ulama ada yang menyatakan bahawa orang yang hilang perasaan malunya adalah daripada golongan orang yang sudah terbiasa berbuat kemungkaran dan kemaksiatan dalam segala jenis dan bentuknya.

Rasulullah bersabda: ”Sesungguhnya yang dapat diambil sebagai pelajaran dari para nabi terdahulu ialah, apabila kamu sudah tidak mempunyai perasaan malu maka berbuatlah semaumu;” riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Berdasar riwayat Ibnu Umar, Rasulullah turut bersabda: ”Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung, bila berkehendak menjatuhkan seseorang maka Allah cabut dari orang itu rasa malunya. Ia hanya akan menerima kesusahan (ramai orang yang marah kepadanya)

Melalui ungkapan kemarahan itu, hilang pulalah kepercayaan orang kepadanya. Bila kepercayaan kepadanya sudah hilang maka ia akan jadi orang yang khianat. Dengan menjadi khianat maka dicabutlah kerahmatan dari dirinya. Bila rahmat dicabut darinya maka jadilah ia orang yang dikutuk dan dilaknati orang banyak.

Pentingnya MALU..

Rasulullah saw bersabda:

“Malu itu mengandungi kebaikan” (Muslim:156, Abu Dawud:4796)

“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.” (Bukhari:5766, Muslim:155)

“Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya disyurga sedangkan buruk akhlak itu sebahagian dari kekerasan hati dan tempatnya dineraka. (Tirmizi:2009)

“Malu dan iman keduanya tidak boleh dipisahkan. Jika satunya terangkat maka yang lain jua turut terangkat.”(Musnad al-Hakim, 1:22)

“ Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)

“Cabang iman itu 63 bahagian. Yang tertinggi adalah mengucapkan Lailaha illa Allah. Bahagian terendah adalah membuang rintangan dijalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.”(Abu Dawud:4676)

“Sesungguhnya setiap agama ada akhlak tersendiri dan akhlak Islam adalah malu” (Ibnu Majah:4181)

Hadith tersebut tidak bererti satu-satunya akhlak dalam Islam adalah malu akan tetapi akhlak yang paling sempurna dalam Islam adalah sifat malu. Betapa agungnya malu dalam akhlak Islam!

“Sesungguhnya apa yang diketahui oleh manusia dari sabda kenabian terdahulu ialah; Jika engkau tidak malu maka lakukanlah sesuka hati kamu.” (Bukhari:348, Ibnu Majah:4183)

Oleh itu kita dapat fahami:
1) Ancaman, jika tidak malu maka buatlah sesuka hati dan nantikanlah balasan Allah swt.
2) Kerja keras tanpa keluh kesah. Jika pekerjaan yang anda lakukan itu tidak tercela maka lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan tulus ikhlas tanpa rasa malu.

Apabila Wanita Itu MALU..

Wanita itu berjalan malu-malu

Firman Allah swt dalam al-Quran ketika menggambarkan wanita anak Nabi Syuaib berjumpa Nabi Musa as:

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan, ia berkata: "Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami." (al-Qashash:25)

Renungilah ayat ini dan bacalah sekelian kalinya hingga kita berfikir mengapa begitu lengkap dan sempurna pernyataan Allah dalam menguraikan bagaimana anak Nabi Allah Syuaib tatacaranya berjalan? Seolah-olah kita merasakan bahawa perkataanya jua gaya jalannya menunjukkan rasa malunya. Seluruh badannya menunjuk rasa malu yang agung, menjaga kehormatan diri dan maruah wanita dan jua manusia seluruhnya. Sesungguhnya rasa malu bagi wanita itu adalah perisai tak tertembusi oleh manusia lain, andai saja dia pandai menjaga perisai malunya. Tuntutan rasa malu kepada wanita adalah fitrah kerana wanita itu sendiri lembut dan sopan melebihi lelaki.

Adalah dikesalkan pada zaman ini kita sudah ketandusan generasi sebegini. Namun disebalik redup ketandusan ini, Allah tidak menghilangkan golongan yang masih mempunyai harga diri. Masih terdapat yang memelihara aurat mereka dengan sempurna, menjaga pergaulan bebas, bersifat malu selayaknya wanita. Umpama mutiara sempurna tersusun rapi didalam bekas yang terjaga. Biarpun berdepan arus globalisasi dan modernisasi yang kuat mengfitnah, insya Allah yang memberi ketenangan pada hambaNya yang soleh dan solehah.

Arus feminisme dan emansipasi wanita jua turut memberikan tekanan, yang melaungkan kebebasan yang superficial kerana hakikatnya mereka mengeluarkan diri dari keistimewaan dan darjat tinggi yang telah diberikan Islam. Hasilnya wanita yang bersikap tidak senonoh, menghina diri untuk menarik perhatian orang lain khususnya lelaki, dan hilang sifat kewanitaan.

Musuh Islam sangat gembira dengan hakikat ini kerana tidak cukup dengan wanita Eropah untuk dirosakkan, wanita di Timur khususnya wanita Islam menjadi matlamatnya.Tegakkanlah rasa al-haya dalam diri kita. Itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak terbanding dengan apa yang ada pada dunia dan seisinya. Wallahu al-Musta’an.

Tanpa Rasa Malu..

Jika dicabut rasa malu itu maka tunggulah saat kehancuran..

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya maka ia akan menghilangkan rasa malunya, maka jika telah dicabut rasa malunya kamu tidak akan menjumpainya lagi kecuali ia membenci dan dibenci dan dicabutlah rasa amanah darinya. Maka jika dicabut rasa amanah darinya engkau tidak akan menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dan jika engkau tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dicabutlah rasa kasih saying daripadanya. Dan jika kasih saying dicabut darinya maka engkau tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat. Maka dicabutlah keislaman darinya.” (Ibnu Majah:4054)


Subhanallah..Awal kehancuran adalah dicabutkan rasa malu. Astaghfirullah, di jalanan kita mendapati terlalu ramai manusia yang sudah hilang sifat malu. Mereka tidak malu dan secara terbuka melakukan kezaliman dan kemaksiatan sedangkan kita yang melihat sendiri yang berasa malu atas perbuatan mereka. Sedang mereka bangga dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perkara yang mereka lakukan.

Bacalah sekali lagi hadith diatas, dan tanyalah diri kita. Adakah kita mempunyai sifat????