BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Memaparkan catatan dengan label Malu... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malu... Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2009

Malu dan Pencapaian Akademik

Dalam kelas, si malu menjadi tersekat laku, tidak yakin diri dan berkebimbangan sosial. Lebih buruk daripada ini mereka menjadi penyisih (withdrawn), tidak responsif, tidak komunikatif dan sentiasa berkhayal. Terdapat si malu yang menyisih oleh kerana sememangnya inilah sifat personaliti mereka; namun ada juga yang menyisih disebabkan faktor situasi yang memberi tekanan (Brophy, 1996). Tidak kira bagaimana si malu menjadi penyisih, mereka tentulah 'bagus' kerana tidak memberikan masalah disiplin dalam kelas.

Namun, mereka juga dianggap kurang pandai dan kurang diberikan tanggungjawab. Ini mengukuhkan lagi penilaian-kendiri mereka yang negatif terhadap diri sendiri. Akibatnya, mereka terjurus untuk mengelak kegagalan dan kurang bermotivasi pencapaian (Holbrook, 1987). Lazimnya, pencapaian akademik mereka tidak dapat dibanggakan walaupun ada di kalangan mereka yang layak masuk ke universiti.

Pelajar pemalu di universiti kurang meminta bantuan dalam pelajaran masing-masing. Mereka bungkam dan kurang aktif di universiti. Si malu cenderung menuduh diri sendiri apabila menghadapi kesukaran tanpa menyedari bahawa kemasukan ke universiti sebenarnya sukar bagi semua orang. Universiti merupakan tempat di mana ramai orang akan datang dan pergi silih berganti. Antaranya, terdapat orang yang perlu disaingi dan akhirnya dibandingkan keupayaan akademik masing-masing.

(Kajian Korelasi Emosi Malu dengan Pencapaian Akademik)

Kemungkinan pelajar yang pemalu tidak sempat mendaftar kursus yang benar-benar sesuai dengannya dan akhirnya memburukkan prestasi akademik sendiri. Ini diburukkan lagi sekiranya si malu mengalami kesekatlakuan komunikasi ketika ditanya soalan-soalan akademik, diminta membuat persembahan di khalayak atau menyediakan projek yang diberi penilaian (Brophy, 1996).

Crozier dan Garbert-Jones (1996) mengusulkan bahawa terdapat banyak pertindihan antara malu dengan kurang keyakinan diri. Pelajar pemalu didapati kurang yakin dengan keupayaan belajar mereka. Sekiranya pelajar pemalu merasakan pelajar-pelajar lain lebih pandai, mereka akan mengalami imej-kendiri akademik dan perasaan rendah diri. Terdapat banyak situasi yang boleh mencetuskan malu di universiti. Contohnya, bertemu dengan orang baru, menghadiri temu duga, berbual dengan pensyarah dan menghadiri tutorial.

Si malu menjadi segan hendak bertemu dengan pensyarah untuk berbincang. Pelajar pemalu akan merasa bimbang dan gerun untuk melibatkan diri dalam penghujahan dan perbincangan ketika menghadiri tutorial. Si pemalu terlalu bimbang dengan tutorial kerana risau sama ada dia berbual dengan betul, meninggalkan imej diri yang negatif dan menelanjangi kebodohannya di depan orang yang lebih pandai. Secara teorinya, pelajar pemalu di universiti merupakan 'budak baik' tetapi akan mengalami kemerosotan akademik.

Rabu, 2 September 2009

Malu...

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan.

Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki.

Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.

Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

KESAN POSITIF PERASAAN MALU

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita.

Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara. Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki , yang dapat menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Diantara kesan sifat malu ialah:

Al-'iffah iaitu kesopanan yang menghalang diri daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan keji.

Al-wafa' iaitu benar pada janji dan amanah. Al-Ahraf bin Qais berkata : " Dua perkara yang tidak terhimpun kedua-duanya selama-lamanya di dalam kehidupan manusia iaitu dusta dan maruah". Maruah yang dimaksudkan termasuklah benar, amanah, malu, dan kesopanan.

Sesungguhnya orang yang mempunyai sifat malu itu akan sentiasa dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan mungkar yang boleh mendatangkan keaiban pada dirinya atau orang lain dan menyebabkan nama atau kedudukannya tercemar. Oleh demikian, secara tidak langsung sifat malu dapat membentuk akhlak seseorang itu, sentiasa menjaga adab, tutur kata, perangai dan kelakuan yang sopan serta mendidiknya supaya suka melakukan perkara yang baik lagi berfaedah.

Misalnya, jika kita malu dikatakan sebagai orang yang tidak beramanah, maka pasti kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menunaikan janji dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan sempurna. Jika kita malu dikatakan sebagai penjenayah, maka pasti kita akan menjauhkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan seperti mencuri, merompak, merogol, mendera, membunuh dan rasuah. Begitu pula jika kita malu untuk dikatakan sebagai seorang yang tidak beradab, sudah pasti kita akan menjaga akhlak dan tingkah laku serta penampilan diri sama ada dari sudut pakaian atau tingkah laku.

IMPLIKASI TIDAK MALU

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amir: “Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu’.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW yang disampaikan Imran bin Hushain yang bermaksud: Malu itu tidaklah datang kecuali dengan membawa kebaikan. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)Abdullah bin Umar pernah mengatakan: Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja tanpa dibatasi rasa takutkan seksaan Allah dan segan dipandang orang, sebaliknya berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan perbuatan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi sebab berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini. Antaranya kerana hilang sifat malu dalam jiwa diri seseorang. Ketiadaan sifat malu pada diri seseorang, masyarakat dan pada sesuatu umat atau bangsa, akan memudahkan berlakunya segala macam kemungkaran.

Lantaran itu kehidupan manusia menjadi huru-hara, tiada lagi keamanan dan kesejahteraan.Ini menunjukkan betapa sifat malu mempunyai pengaruh dan kesan besar terhadap pembentukan akhlak dan tingkah laku seseorang serta pergaulan hidup sosial mereka. Oleh sebab tidak mempunyai perasaan malulah, seseorang itu sanggup membelakangkan dan melanggar hukum Allah. Mereka tidak lagi mengendahkan norma susila dan kesopanan hidup serta tidak mengenal lagi perikemanusiaan. Tingkah laku berubah menjadi kasar dan angkuh hingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Jelas di sini bahawa sifat malu umpama perisai yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Malah, sifat malu juga menjadi kayu ukur terhadap tahap keimanan seseorang dalam menentukan tinggi rendah akhlaknya. Ini kerana sifat malu dan iman adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan.

Hakikatnya, apabila seseorang manusia hilang atau tiada lagi sifat malu dalam dirinya, maka ketika itu tiada lagi perasaan segan silu untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah, sentiasa tunduk mengikut tuntutan hawa nafsu. Ini kerana hati dan jiwanya telah buta dan rosak. Dalam dirinya tiada lagi perasaan belas kasihan dan kasih sayang.Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebaginya. Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Jadi kawan-kawan...anda memilih untuk malu atau tak malu?atau buat-buat tak tahu malu? Fikir-fikirkanla...

PUNCA PERASAAN MALU

Dua gugusan rangsangan kerap menjadi punca meletuskan rasa malu:

1. Gugusan pertama merupakan situasi baru, latar yang kurang biasa, ketika berada di kalangan orang yang tidak dikenali, dan ketika kali pertama bertemu dengan seseorang, terutama jika seseorang merasakan dirinya mendapat perhatian (Johnson, 2001).

2. Gugusan kedua adalah ketika seseorang dinilai seperti ketika sedang bercakap di khalayak, berpidato, ditemu ramah, ditemu duga, ketika mengambil peperiksaan lisan, dan berinteraksi dengan orang-orang yang dihormati, berwibawa dan pakar-pakar (Crozier & Garbert-Jones, 1996), serta ketika bertembung dengan orang berlainan jantina sama ada secara berduaan atau dalam kumpulan (Carducci, 2000).

Sedikit perasaan malu adalah normal ketika terserempak dengan ekspektasi sosial yang baru atau kurang jelas. Ia membawa kesan positif kepada individu dan memelihara keutuhan hidup berkumpulan. Contohnya, si malu yang tercampak dalam situasi sosial tertentu akan berpeluh dan meloya (Carducci, 2000) dan dia perlu mengundur diri seketika untuk reda. Tentunya dia akan dapat menghadapi peristiwa tersebut dengan lebih tenang nanti (Brophy, 1996).

Si malu mempunyai satu kombinasi kesedaran-kendiri yang melampau, waspada kepada benda baru atau pelik dan menyangka orang lain berfikir tentang dirinya (Johnson, 2001). Berbagai-bagai perasaan bercampur aduk ketika seseorang mengalami malu. Ini termasuklah perasaan takut, berminat, tertekan dan nyaman. Seiring dengan perasaan ini, terdapat peningkatan degupan jantung dan tekanan darah. Tanda luaran perasan malu ialah tenungan mata yang menyimpang ke samping serta terjurus ke lantai dan anggota menjadi tegang serta lidah menjadi kelu.

Rabu, 26 Ogos 2009

HADIS YANG MENJELASKAN TENTANG MALU



عَنْ أَِبي مَسْعُوْدٍ عُقْبَةَ بِنْ عَمْرٍو الأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله
صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ آَلاَمِ النُّبُوَّةِ الأُوْلَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَ ا
شِئْتَ )) رواه البخاري.

Daripada Abu Mas'uud 'Uqbah ibn 'Amru al-Ansarie al-Badrie r.a. beliau berkata: Rasulullah SAWtelah bersabda:Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan Kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik olehmanusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari)

Pokok Perbincangan Hadis :

Malu terbahagi dua :
1) yang boleh diusahakan - mengenal Allah - merasai muraqabah Allah.
2) yang tak boleh diusahakan -fitrah yang diberikan Allah kpd sesiapa yg dikehendaki(kebaikan).

Malu yang dicela - yang tidak menepati syarak : malu bertanya tentang agama/ beribadat dalam keadaan jahil.
Pengajaran hadis : Malu adalah salah satu sifat utama seorang mukmin kerana ia adalah sebahagian dari lman. Malu tidak menghasilkan sesuatu kecuali kebaikan. la menjadi perisai daripada melakukan banyak perkara jahat. Sejarah membuktikan bahawa nafsu manusia tidak terbatas dan tidak pernah puas. Hanya dengan sifat malu, mereka mampu membendung dan menjurusnya ke arah kemuliaan. Malu sejati ialah malu yang didorong oleh perasaan lman kepada Allah. Malu melakukan kebaikan adalah malu yang tercela dan dilarang seperti malu menutup aurat, malu mengerjakan ketaatan kepada Allah atau malu bertanya perkara yang tidak diketahui.

Malu ke Tak??

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.. Semoga kawan-kawan sentiasa dalam lindungan Allah Ta'ala.

Banyak orang yang terbiasa mengucapkan kalimat, "Malu la!" yang merupakan ungkapan untuk mengecam dan diarahkan kepada orang yang menentang syari'at Allah subhanahu wata'ala, melakukan sesuatu yang diharamkan-Nya dan kurang berlaku sopan terhadap sesama manusia dalam bentuk apa pun.! Benar,sesungguhnya itu adalah ungkapan yang memiliki makna dan misteri.

Namun begitu, terkadang kita tidak mengetahui makna malu itu sendiri, malah sebahagian kita tidak memahami perbezaan antara malu 'syar'i' dan malu bukan 'syar'i', demikian juga malah ada di kalangan kita yang tidak mengenal nilai malu tersebut.! Jadi, di harapkan maklumat yang disampaikan akan menjadi input yang berguna kepada kawan-kawan sekalian.

DEFINISI MALU
Kata malu dalam bahasa Arab bererti hidup. Menurut istilah yang disimpulkan oleh para ulama, malu itu adalah sebuah akhlak atau perangai yang memberikan motivasi kepada orang yang memilikinya untuk meninggalkan segala keburukan, dan akan membentengi dirinya dari kecerobohan dalam menunaikan hak kepada para pemilik hak tersebut. (Fathul Bari 1/68)

PEMBAHAGIAN MALU
Malu bila dilihat dari wujud kemunculannya pada seseorang terdiri dari dua iaitu malu yang terpuji dan malu yang tercela. Malu yang terpuji adalah malu yang menjadi pendorong untuk berbuat kebaikan dan membentengi diri dari berbuat keburukan. Malu yang tercela ialah malu yang menjadi penghalang bagi seseorang dalam melakukan kebaikan. Tepuk dada Tanya hati!!! Adakah kita dalam golongan malu yang terpuji atau tercela???

Malu yang terpuji :
1. Malu kerana membuat salah seperti malunya Nabi Adam a.s kepada Allah s.w.t di saat Adam a.s di syurga.
2. Malu kerana keterbatasan diri seperti rasa malu malaikat yang sentiasa bertasbih siang dan malam hari.
3. Rasa malu kerana memiliki sifat makrifat.
4. Malu kerana kehalusan budi seperti rasa malu Rasullah s.a.w saat mengundang orang pada acara walimah Zainab. Disebakan orang itu tidak segera pulang maka beliau bangun dari duduknya dan merasakan malu untuk berkata “Pulanglah kalian”.
5. Malu kerana menjaga kesopanan seperti malunya Ali bin Ab Thalib ketika hendak meminta baju besi dari Rasullah s.a.w kerana dia menjadi suami kepada puteri beliau.
6. Malu kerana merasa diri terlalu hina seperti malunya hamba yang sentiasa memohon pelbagai permintaan kepada Allah s.w.t
7. Malu kerana melakukan kemuliaan ialah apabila melakukan kebajikan merasa malu dan tidak merasa riak memberitahu kepada orang lain.
8. Malu terhadap diri sendiri kerana merasakan diri banyak kekurangan dalam beramal.
9. Malu kerana cinta. Perasaan cinta kepada Allah adalah yang paling agung tapi tidak ramai yang mempunyai perasaan ini sebaliknya lebih mementingkan percintaan terhadap manusia lebih dari pencipta kita sendiri.

Malu yang tercela :
1. Malu dalam mencari ilmu.
Perkara ini sering berlaku kepada kita. Kita malu untuk bertanya kerana khuatiri akan dikatakan tidak pandai oleh kawan-kawan.
2. Malu bertanya perkara yang tidak tahu
Oleh sebab itu, Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: “Sebaik-baik wanita adalah wanita Anshor, rasa malu tidak menghalangi mereka untuk memahami agama (tidak menghalangi mereka untuk bertanya).” (Fathul Bari 1/351)
Imam Mujahid rahimahullah berkata: “Tidak akan mempelajari ilmu orang yang malu dan sombong.” (Fathul Bari 1/351)
3. Malunya seorang wanita untuk mengenakan jilbab (tudung)
Banyak kaum wanita hari ini yang merasa malu bila mengenakan jilbab. Padahal wanita yang memiliki rasa malu tidak akan rela jika auratnya terbuka, karena aurat adalah sesuatu yang menimbulkan seseorang merasa malu. Apabila seorang wanita sudah tidak lagi merasa malu ketika terlihat auratnya maka secara automatik hilanglah hakikat kehormatannya.
4. Malunya seseorang untuk meninggalkan adat kebanyakan orang (yang bertentangan dengan Islam).
5. Malunya seorang wanita apabila tidak bekerja di luar rumah.
6. Malunya seorang wanita bila tidak bergaul iaitu bebas bergaul dengan siapa saja dan dengan pergaulan macam manapun, termasuk bergaul dengan lelaki yang bukan muhrim.

KARAKTER MANUSIA YANG MALU :

1.Menjaga kepala dan sekitarnya. Yang dimaksud dengan menjaga kepala dan sekitaranya adalah :
a. Menjaga indera penglihatannya agar jangan sampai melihat kepada yang haram, mencari-cari kesalahan orang lain dan hal-hal lain yang diharamkan Allah swt
b. Menjaga indera pendengaran dengan menggunakannya untuk mendengarkan bacaan Al Quran, mendengarkan pengajian dan menjauhi mendengarkan hal yang lagha.
c. Menjaga lisan dengan mempergunakannya untuk zikrullah, memberi nasihat, menyampaikan dakwah dan menjauhi segala ucapa yang diharamkan seperti adu domba, mengumpat, menghina orang lain.
d. Menjaga mulut dengan membiasakan menggunakan siwak, memasukkan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram. Menjauhi tertawa berlebihan.
e. Menjaga muka dengan membiasakan bermuka manis, tersenyum dan ceria setiap kali bertemu kawan.
f. Menjaga akal dengan menjauhi pemikiran yang sesat seperti pemikiran muktazilah, sekuler, islam liberal.

2. Menjaga perut dan seisinyaYang dimaksud dengan menjaga perut seisinya adalah:
a. Menjaga hati dengan menanamkan keikhlasan dan melakukan muhasabah serta menjauhi penyakit hati seperti riya, ujub, sombong, kufur, syirik.
b. Menjaga saluran pernafasan dengan tidak merosak saluran pernafasan seperti merokok dsb.
c. Menjaga kemaluan dengan menjauhi apa-apa yang diharamkan Allah seperti perzinaan.
d. Menjaga saluran pencernaan dengan hanya memasukkan makanan dan minuman yang halal saja.
3. Mengingat mati dan hari kiamat.
Mengingat mati akan membawa kita kepada upaya untuk meningkatkan ketakwaan . Orang yang berbahagia adalah orang yang senantiasa melupakan kebaikan, mengingat dosa, mengingat kematian, melihat orang yang lebih rendah di bidang dunia dan melihat orang yang lebih baik dalam bidang akhirat. Orang yang mengingat kematian akan terdorong untuk menyiapkan bekalan menuju akhirat dan malu melanggar larangan Allah.
4. Menjadikan akhirat sebagai tujuan akhir.
Rasa malu itu merupakan benteng manusia dari perbuatan buruk. Orang yang memiliki rasa malu terhadap Allah akan menghalangi diri dari pelanggaran agama. Orang yang malu terhadap manusia akan menjauhi semua sikap buruk manusia. Bila rasa malu ini hilang dari seseorang maka kita tidak akan peduli lagi terhadap perbuatan dan ucapan yang diperkatakan.

Sebenarnya, banyak sangat hadis dari Rasullah s.a.w yang mengutarakan mengenai pentingnya malu dalam Islam. Jom kita tengok hadis-hadis yang telah kami pilih.

1. “Rasa malu tidak mendatangkan selain kebaikan. Busyair bin Ka′b berkata: Dalam kata-kata bijak tertera :”Sesungguhnya rasa malu memiliki keagungan dan dalam rasa malu terdapat ketenangan” (diriwayatkan oleh HR Bukhori dan Muslim)
2. “Iman terdiri dari enam puluh cabang lebih dan rasa malu sebahagian cabag dari iman (diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim)
3. “Biarkanlah ia memiliki rasa malu kerana malu itu termasuk dalam keimanan” (diriwayatkan oleh Bukhori dan Muslim)
4. “Iman dan rasa malu merupakan pasangan dalam segala situasi dan kondisi. Bila rasa malu tidak ada maka imanpun akan sirna”( diriwayatkan oleh HR Al Hakim)
5. “Setiap agama memiliki akhlak dan akhlak Islam adalah rasa malu”. (diriwayatkan oleh Anas r.a)
6. “Sesungguhnya Allah azza Wajalla apabila hendak menghancurkan seorang hamba menarik darinya rasa malu, apabila rasa malu telah ditarik maka tidaklah kau jumpai dia kecuali dalam keadaan tercela dan dibenci, Bila sudah tercela dan dibenci maka akan ditarik darinya sifat amanah. Apabila sifat amanah telah ditarikmaka tidak kau jumpai dia kecuali menjadi seorang yang pengkhianat, bila sudah menjadi pengkhianat maka ditarik darinya sifat kasih sayang. Bila sifat kasih sayang telah ditarik darinya maka tidak kau jumpai dia kecuali dalam keadaan terlaknat dan bila dalam keadaan terlaknat maka akan ditarik ikatan islam darinya.(diriwayatkan oleh Ibnu Umar)
7. “Tidaklah ada suatu kekejian pada sesuatu perbuatan kecuali akan menjadinya tercela dan tidaklah ada suatu rasa malu pada sesuatu perbuatan kecuali akan menghiasinya”. (diriwayatkan oleh Anas r.a)
8. “Sesungguhnya dalam dirimu terdapat dua sifat yang dicintai Allah yaitu kesabaran dan rasa malu”. (diriwayatkan oleh Ibnu Abbas)

Khamis, 13 Ogos 2009

Apa itu Malu??

Malu adalah satu perasaan negetif yang timbul dalam diri seseorang akibat daripada kesedaran diri mengenai perlakuan tidak senonoh yang dilakukan oleh dirinya sendiri.
Setiap orang yang normal mempunyai perasaan malu. Tetapi setiap masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza mengenai malu. Sehubungan itu, pendapat mengenai apa yang dimaksudkan malu, apa yang mendatangkan malu serta tindakan yang harus untuk mengatasi perasaan malu berbeza-beza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain. Ini adalah kerana dalam konsep malu dan segan ini sebenarnya terkandung satu sisitem nilai dan kepercayaan sesebuah masyarakat itu.

Malu dalam masyarakat Melayu mempunyai 3 lapis pengertian, iaitu:

Malu Sebagai Perasaan
Malu Sebagai Tanda Harga Diri
Malu Sebagai Fungsi Kawalan Sosial

MALU SEBAGAI PERASAAN

Malu sebagai perasaan merujuk kepada istilah “rasa malu”. Istilah-istilah Melayu yang merujuk kepada pekara ini termausklah, “berasa aib”, “rasa segan” dan juga “segan silu”. Secara umumnya, malu merupakan perasaan rendah diri ataupun berasa segan silu terhadap kekurangan yang ada pada diri sendiri apabila dibandingkan dengan orang lain. Kekurangan ini boleh diertikan sebagai kebodohan, kejahilan, tidak sertimpal, tidak seperti, mahupun tidak setaraf. Individu yang mengalami perasaan begini selalunya menganggap dirinya lebih kecil dan hina daripada orang lain yang dianggapnya mempunyai serba kelebihan pula.

Malu merupakan sesuatu yang berpunca. Berdasarkan puncanya malu boleh dibahagikan kepada tiga jenis seperti di bawah:
malu-malu bahasa
segan
aib
M.A.L.U - M.A.L.U B.A.H.A.S.A
Malu-malu bahasa merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perasaan hormat. Perasaan malu-malu bahasa timbul apabila seseorang itu berhadapan dengan orang yang dihormati. Perasaan malu ini agak sederhana dan tidak sampai boleh menyakiti hati seseorang.
S.E.G.A.N
Segan merujuk kepada perasaan malu yang timbul daripada perbuatan janggal. Perasaan segan timbul, apabila seseorang tidak biasa melakukan perkerjaan tertentu sehingga timbul keadaan yang janggal. Biasanya ia timbul apabila seseorang “baru” dalam pekerjaan tertentu. Misalnya seseorang akan berasa segan untuk bertutur kepada orang yang tidak dikenali, lebih-lebih lagi jika beliau jarang untuk berbuat demikian. Perasaan segan walaupun tidak menyenangkan hati seseorang tetapi tidaklah ia sampai menyakit hati.
A.I.B
Aib merujuk kepada perasaan malu yang berpunca daripada perbuatan yang jahat. Perasaan aib merupakan malu yang kuat. Biasanya ia timbul apabila seseorang menyedari dirinya telah melakukan dosa dan perbuatannya itu telah terbongkar dan diketahui umum. Perasaan aib ini sangat berkait dengan penghinaan. Orang yang berasa aib mungkin akan melakukan tindakan yang estrim seperti membunuh diri.

MALU SEBAGAI TANDA HARGA DIRI

Dari segi kehidupan bermasyarakat, perasaan malu itu berkaitan dengan maruah, harga diri dan air mukanya seseorang. Orang yang beroleh malu bermaksud bahawa maruah, harga diri dan air mukanya telah tercemar. Dalam keadaan ini, kedudukan sosialnya telah terjejas dan menjadi rendah. Ketercemaran ini berpunca daripda perlakuannya sendiri dan juga oleh tekanan sosial.
Malu dianggap sebagai tanda harga diri kerana dikatakan seseorang itu dapat merasai maruah dan harga dirinya apabila beliau mempunyai perasaan malu. Sehubungan itu, malu merupakan sesuatu yang sihat bagi orang yang bermaruah kerana perasaan ini sebenarnya dapat mendorong seseorang untuk menjaga maruah dan harga diri.

Bagi mereka yang tidak mempunyai perasaan malu, mereka lazimnya dianggap orang yang tidak tahu harga diri. Pemerian untuk mereka ini ialah “Tidak tahu malu” dan “muka tebal”. Orang yang tidak tahu malu biasanya merupakan kejian orang ramai dalam masyarakat Melayu.
Perasaan malu sebagaimana yang dikaitkan dengan maruah, dan harga diri amat penting dipupuk kepada anggota-anggota masyarakat. Dengan memberi kesedaran mengenai perasaan malu yang ada pada diri seseorang itu boleh menjadi penghalang atau benteng yang penting bagi anggota masyarakat agar tidak melakukan sesuatu yang dianggap menyeleweng.

MALU SEBAGAI FUNGSI KAWALAN SOSIAL

Masyarakat Melayu menyedari bahawa malu merupakan satu fungsi kawalan sosial dengan adanya perpatah yang berbunyi - Kerana malu tahu menilai batas

Malu merupakan satu perasaan negetif yang timbul daripada kesedaran diri seseorang mengenai perlakuan yang tidak senonoh. Daripada itu, seseorang akan mengelakan diri daripada perlakuan yang buruk bagi mengelakkan diri daripada beroleh malu. Dari segi ini, malu sememangnya boleh mengawal tingkah laku seseorang dan dengan itu memainkan fungsi kawalan sosial.

Masyarakat Melayu yang hidup secara berkeluarga juga menguatkan lagi fungsi malu sebagai kawalan sosial. Dalam masyarakat Melayu seseorang itu bukan sahaja akan menanggung malu daripada perbuatannya sendiri malah akan menanggung malu daripada perbuatan ahli keluarganya. Ini adalah kerana keluaraga Melayu yang mempunyai perasaan kekitaan terhadap keluarganya sendiri dan juga kerana masyarakat Melayu menganggap bahawa seseorang itu terikat kepada keluarganya. Misalnya, seorang anak akan menyebabkan ibu bapa mereka malu sekiranya ia telah melakukan sesuatu yang jahat seperti mencuri. Dalam peribahasa Melayu, tindakan anak ini diperikan sebagai “menconteng arang di muka ibu bapa”.

Bagi mengelakkan diri mereka menanggung malu seseorang itu akan cuba mengawal ahli keluarga mereka supaya tidak melakukan perbuatan yang buruk. Di sini, sekali lagi kita boleh lihat bahawa malu telah memainkan satu fungsi kawalan sosial
Kesedaran mengenai malu sebagai fungsi kawalan sosial juga boleh dilihat dari segi manipulasi konsep malu dalam puisi Melayu lama. Di sini, konsep malu telah digunakan untuk menasihati orang ramai supaya berkelakuan baik. Contohnya:

Buah ganja makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Barang Kerja hendak difikir
Supaya Jangan mendapat malu
Dan satu lagi contoh:
Tingkah laku tidak kelulu
Perkataan kasar keluar selalu
Tidak memikirkan aib dan malu
Bencilah orang hilir dan hulu

Puisi-puisi Melayu Lama di atas telah menasihatkan orang ramai supaya mengingatkan perasaan malu supaya mereka berkelakuan baik. Di sini kita boleh lihat bahawa adanya satu kesedaran mengenai malu sebagai satu fungsi kawalan sosial dalam masyarkat Melayu.

MALU SEBAGAI PEMANGKIN KEJAYAAN

MALU adalah sifat semula jadi anugerah Tuhan kepada manusia. Umumnya, seseorang yang pemalu juga pendiam dan mungkin penakut serta lebih suka menyendiri dan mengasingkan diri daripada sebilangan besar masyarakat. Sifat malu yang berpada-pada amatlah dituntut oleh Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." Sementara itu, rasa malu yang keterlaluan dan tidak terkawal mampu mengundang kemudaratan. Malah, boleh menjadi simptom penyakit yang memerlukan rawatan khusus.

Begitu juga, tiadanya sifat malu dalam diri seseorang akan turut mendatangkan pelbagai keburukan, bukan saja kepada orang itu, malah seluruh masyarakat.
Ini kerana sifat malu itu walaupun menjadi milik peribadi, turut dikongsi oleh setiap anggota masyarakat.
Bayangkan apa akan berlaku jika sifat malu ini tiada dalam sesebuah masyarakat. Tentu akan runtuh nilai akhlak dan perilaku moral mereka.
Perbincangan dalam tulisan ini cuba melihat sifat malu dari beberapa aspek yang secara khususnya berkait rapat dengan kesejahteraan diri dan masyarakat.
Sebenarnya malu adalah sifat dalam diri kita yang di antara lain akan membantu untuk tidak bertindak di luar batasan akhlak dan moral yang diterima masyarakat. Kerap kali juga kita mendengar seseorang yang berjaya dalam akademik dan kerjaya sebenarnya seorang pemalu.

Mereka malu apabila tidak dapat mencapai kejayaan dalam hidup seperti orang lain. Dalam keadaan ini, sifat malu didapati mendorong atau meningkatkan daya motivasi seseorang untuk mencapai kebahagiaan hidup dan inilah yang sewajarnya berlaku.
Namun, ada juga keadaan mereka yang bersifat malu, namun tetap bertindak di luar batasan perilaku normal. Malah tidak kurang juga peristiwa menyayat hati yang dilaporkan berlaku seperti kejadian bunuh diri atau membunuh orang lain membabitkan seseorang yang dikatakan sebagai pendiam dan pemalu.

Memang ada alasan tertentu mengapa mereka bertindak demikian. Oleh itu, kita sewajarnya berwaspada dalam memelihara batasan perbuatan agar tidak tersasar daripada landasan yang betul. Cubalah renungkan maksud hadis yang dapat memberi banyak maksud tersirat ini.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Hassan al-Basri bermaksud: Sifat malu itu ada dua bahagian, bahagian dari iman dan bahagian dari kelemahan.
Kerana itu, seseorang perlu terlebih dulu mendalami diri dan keadaan malunya sebelum mampu mengatasi sifat itu. Kemudian adalah wajar dia menyingkap, adakah sifat malu berkenaan bertepatan dengan masa dan tempat? Atau sebaliknya, sebelum boleh melakukan pelbagai kegiatan berkesan bagi mencegah dan mengatasinya. Seseorang yang memiliki sifat malu secara keterlaluan dilihat juga sebagai seorang yang mudah berasa takut, bimbang, cemas dan runsing. Kebiasaannya ketakutan akan melanda apabila mereka terpaksa berhadapan dengan seseorang yang disegani, tidak dikenali atau apabila diminta memberi pendapat di khalayak ramai.

Mereka amat risau jika pendapat mereka dikritik atau tidak diterima orang lain.
Perasaan malu ini, akhirnya menyebabkan mereka terkaku serta tidak dapat memberikan pendapat, lalu mula menghindari sebarang interaksi dengan orang lain dan pelbagai kegiatan sosial lain.

Keadaan ini juga biasanya akan menekan fikiran dan emosi serta kehidupan mereka. Mereka mula berasa menyesal dan sedih atas masalah ini.
Selain itu, ada yang berasa malu keterlaluan kerana risau dengan penampilan imej diri dan cara mereka berkomunikasi dengan khalayak. Malah tidak kurang yang berasa terlalu malu terhadap latar belakang sendiri, terutama mereka daripada keluarga miskin dan bermasalah atau berpenyakit mental, jangkitan HIV/Aids dan sebagainya. Mereka bimbang terhadap tanggapan negatif orang ramai terhadap diri mereka.

Pendek kata, sifat malu secara keterlaluan itu datang daripada pelbagai punca berlainan dan berkaitan pula dengan rasa bimbang, takut dan cemas.
Golongan seperti ini memerlukan satu bentuk program pemulihan dan peningkatan keyakinan diri melalui kaedah latihan dan kaunseling.
Seterusnya kita bincangkan pula beberapa sebab seseorang itu mempunyai sifat malu secara berlebihan berbanding orang lain.

Simptom dan reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang memiliki sifat malu secara melampau ini sebenarnya sama walaupun berpunca daripada sebab berbeza. Contohnya, mereka pasti takut, cemas dan bimbang serta suka menyendiri dan tidak mudah untuk berinteraksi dengan orang ramai. Begitu juga, sukar menyesuaikan diri, tiada keyakinan diri dan kurang berani menyuarakan pendapat secara bebas di khalayak ramai.
Soalnya, mengapa keadaan ini berlaku? Ada beberapa perkara yang seharusnya diberi perhatian jika seseorang memiliki sifat malu secara keterlaluan yang mengganggu proses kehidupannya secara normal.
Dalam kebanyakan masa, mereka yang bersifat malu secara melampau mempunyai pelbagai bentuk pemikiran negatif dan tidak membina. Pemikiran negatif ini dijadikan kayu ukur dalam menilai diri sendiri, orang lain dan kehidupan secara keseluruhan. Bentuk pemikiran seperti ini harus dikenal pasti dan setakat mana ia menyumbang kepada sifat malu yang ada, wajar diperhalusi. Seterusnya ia perlu diubah supaya menjadi lebih positif, menyenang dan meningkatkan keyakinan diri.
Pss..: Kita perlu memiliki sifat malu, tetapi bukannya seorang yang pemalu secara tidak bertempat atau keterlaluan. Ini kerana tanpa disedari kita yang akan menggelapkan masa depan sendiri akibat kejahilan dan kekurangan yang tidak diperbaiki.

MALU, HILANG ATAU KELIRU?

Kadang kita merasa malu, keadaan ini muncul ketika ada sesuatu hal pada diri kita atau perbuatan yang kita lakukan tidak ingin diketahui oleh orang lain, tapi apakah itu malu yang dimaksudkan dalam Islam? maka sebelum kita malangkah lebih jauh, ada baiknya kita mengetahui maksud malu yang telah diterangkan dalam Islam yang membuahkan rasa bahagia dan damai dalam diri kita.
Kata malu sering kita dapatkan dalam hadis Rasulullah Saw, malah dalam sebuah hadis beliau mengatakan bahwa iman seseorang takkan sempurna tanpa adanya rasa malu. Dalam hadis ini beliau mendefinisikan malu, yaitu malu yang tidak membawa sesuatu kecuali kebaika. Hal ini diperjelas oleh Dr. Hasan Syamsi Basa dalam bukunya yang berjudul “Bahagiakan dirimu dan orang lain”. beliau mengatakan “malu adalah menahan atau mencegah segala perilaku yang dipandang jelek oleh akal dan perasaan, serta pengingkaran terhadap segala bentuk perbuatan yang tidak diredhai makhluk dan Khalik”.

Malu adalah akhlak yang mulia yang mencegah seseorang dari perbuatan yang haram dan mungkar, serta dapat menjaga seseorang agar tidak terjerumus kedalam lembah nista yang penuh dengan dosa, maka barang siapa yang hilang rasa malu dari dalam dirinya, dia akan menjadi seperti anak zina yang akan merasa jijik dengan segala kebaikan.
Allah Swt telah berfirman “Dan barangsiapa yang mensucikan dirinya, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allahlah kamu kembali. "
(QS: Faathir: 18)

Rasulullah Saw bersabda: “ malu itu sebahaian dari pada iman, dan iman itu tempatnya di surga, kejorokan atau ketidak sopanan itu sebahagian dari pada perangai yang buruk, dan perangaib uruk itu tempatnya di neraka.
(HR: Ahmad dan Tirmizi).

Namun sesuatu yang kita dapati sekarang tidak seperti apa yang diinginkan oleh Islam. Kita sering keliru meletakkan kata malu, atau malah memang rasa malu itu telah sirna dari dalam diri kita. Sering kita dengar kata “malu” dari orang lain yang tidak pantas untuk dikatakan malu dalam persepsi Islam. Seperti malu untuk berbusana muslimah, malu untuk menghadiri sholat berjamaah. Malu seperti ini merupakan malu yang bersifat negatif dalam persepsi Islam. Kerana mereka malu untuk melakukan kebajikan. Seharusnya kita malu sebagai umat Islam yang ma’ruf dengan peradaban yang benar-benar berlandaskan adab. Agama yang mempunyai konsekuensi dalam ibadah dan istiqamah dalam pendirian. Karena ajaran Islam telah menanamkan tatakrama yang baik dalam pergaualan, ibadah dan sebaginya. Berbeda dengan orang-orang bukan Islam yang menganggap bahawa sifat “malu” merupakan sesuatau yang dianggap kuno.

Seharusnya menjadi seorang muslim sejati itu perlu diawali dengan sifat malu, iaitu malu terhadap dosa. Bukan malu kerana orang lain, tapi malu kerana Allah Swt. Malu lah kerana sebagai hamba yang daif kita selalu melakukan kekhilafan dan kesalahan. Perbanyaklah memohon keampunan Allah atas segala perbuatan dan tingkah laku kita. Bukankah Rasulullah Saw selalu memohon ampunanbagi dirinya, padahal Nabi Muhammad adalah orang yang pasti akan melangkah pintu surga Firdaus? Untuk itu mari kita mulai dari sekarang untuk jujur, terutama pada diri kita sendiri denan memperbanyak renungan dengan hati, akal, dan nafsu kita, sehinga kita jauh dari perbuatan-peruatan yang dibenciNya, dan akhirnya kita menjadi hamba yang diredhaiNya. Amin ya rabal a’lamiin...