BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »
Memaparkan catatan dengan label Fakta Malu2... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fakta Malu2... Papar semua catatan

Khamis, 3 September 2009

Fakta Tentang MALU!!

Takrif Malu Mengikut Psikologi

Emosi malu bukan kewaspadaan (wariness). Seorang bayi yang waspada terhadap orang yang tidak dikenali tidak mendekat-mengelak (approach-avoidance) yang merupakan sifat malu. Emosi malu bukan penyisihan sosial (social disengagement). Contohnya, sebilangan kanak-kanak lebih suka bermain sendirian, walaupun mereka tidak mengalami tekanan perasaan malu yang sebenar (Hyson & van Trieste, 1987).

Emosi malu bukan fobia sosial. Si fobia sosial membesar-besarkan ketakutan mendapat keaiban di khalayak atau disingkir orang dan tidak berkuasa untuk berbuat apa-apa. Mereka mengelak sepenuhnya pertemuan dengan orang baru dan mengalami gangguan psikologi yang menjadikan mereka sebagai pertapa dan mencacatkan pergaulan, mendukacita dan mengganggu kehidupannya (Cottle, 1999). Malu – walaupun amat teruk – bukanlah gangguan psikologi (Wagner, 1998).
Emosi malu bukanlah perasaan rendah harga-kendiri. Pemalu amat pasti tentang kebolehan masing-masing di luar situasi sosial yang mereka sendiri tidak terasa malu. Malu juga bukan introvert kerana tidak seperti si introvert, si malu mahu berinteraksi dengan orang-orang lain, tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana berasa gusar (Carolyn, 2000; Kamath & Kanekar, 1993).

Penyuburan Rasa Malu

Seseorang mempunyai prasediaan genetik bagi kebimbangan dan 'temperamen' secara am yang mungkin berkait dengan malu. Contohnya, keselarian ketakutan sosial di kalangan kanak-kanak kembar monozaigotik lebih tinggi berbanding kembar daizaigotik (Hudson & Rapee, 2000).

Terdapat lebih kurang 20% jumlah bayi dilahirkan dengan 'temperamen kesekatlakuan'. Mereka mempunyai keadaan fisiologi yang sensitif dan reaktif melebihi yang lain-lain, iaitu lebih kuat terlonta-lonta, mempunyai kadar degupan jantung yang lebih tinggi, menangis sambil memperaku asas genetik sebagai pengukuh bagi perkembangan malu, kebanyakan penyelidik percaya teras dasar bagi perasaan malu ialah 'kesedaran-kendiri'.

Ketika bayi berupaya 'mengekal objek' (umur 6–8 bulan) bermulalah wujudnya ketakutan perpisahan dengan pengasuh dan kegerunan kepada orang dewasa yang baru ditemui bagi membantu bayi untuk mengalami kesedaran-kendiri dan menjadi sensitif kepada unsur-unsur sosial di sekitarnya (Hyson & van Trieste, 1987).

Namun, perasaan malu yang asasi mula menjelma ketika kanak-kanak berumur satu setengah hingga dua tahun dan bagi kebanyakan kanak-kanak ketika berumur tiga tahun yang mana mereka mula mengalami kesedaran-kendiri dengan lebih jelas dan boleh menunjukkan perasaan negatif terhadap teguran-teguran yang diterima.

Sejak umur empat atau lima tahun keupayaan mengalami malu dapat dikesan dengan lebih nyata. Perasaan malu yang lebih ketara dapat dikesan ketika keupayaan kesedaran-kendiri dan kemahiran untuk meramal tentang penilaian negatif daripada orang lain berlaku dengan lebih teguh, iaitu ketika umur yang lebih lewat – sekitar umur lapan tahun.

Selaras dengan perkembangan kesedaran-kendiri, norma budaya dan model tingkah laku ibu bapa tentang kesopanan dan situasi yang memalukan seseorang juga turut menjadi asas perasaan malu.

Contohnya, sesetengah bangsa lebih malu daripada bangsa lain. Bangsa Israel merupakan bangsa yang paling tidak tahu malu. Cuma 31% responden Israel mengaku mereka malu. Bangsa Mexico mendapat tempat kedua dengan jumlah 39% (Beidel & Turner, 1998).

Kira-kira 45% daripada orang Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), dan 50% bangsa Jerman boleh disifatkan sebagai malu; manakala bangsa Perancis dan Jepun (60%) merupakan bangsa yang paling malu (USA Today Magazine, 1 Januari 1999). Sehubungan itu, kanak-kanak Cina didapati lebih bungkam berbanding kanak-kanak Caucasian.

Kanak-kanak Sweden lebih banyak mengalami ketidakselesaan sosial berbanding kanak-kanak AS. Beberapa tingkah laku dilabelkan oleh ibu bapa masing-masing dan juga dimodelkan oleh mereka sebagai malu dan perlu disekat. Terdapat juga ibu bapa yang terlampau mengawal anak-anak daripada berinteraksi secara sosial dan mereka pun menjadi malu (Hyson & van Trieste, 1987).

Ketinggian ukuran malu bayi berkorelasi negatif dengan penglibatan keluarga masing-masing dalam pertemuan-pertemuan budaya, pembelajaran perkara-perkara baru dan lawatan ke rumah rakan-rakan (Hudson & Rapee, 2000).

Komponen Emosi Malu

Emosi malu menjadi kental sekiranya si malu mempercayai dirinya serba kekurangan untuk tampil di khalayak dan penampilan tersebut akan menelanjangi kekurangannya kepada orang lain (Berman, 1999). Wujudlah perasaan gerun di khalayak dan si malu mengalami kesekatan sosial (social inhibition).

Mereka berasa risau jika membuat sesuatu yang bodoh, bahlul atau silap yang akan dihina serta mendapat keaiban atau ditolak. Dalam keadaan ini, si malu mengalami peningkatan kesedaran-kendiri (self-consciousness), kebimbangan (anxiety), kebungkaman (reticence) dan kesekatlakuan sosial (social inhibition).

Kebimbangan daripada jenis 'kebimbangan sosial' berkait rapat dengan perasaan malu. Ia tercetus ketika seseorang berasa gugup direnung oleh orang lain (Cottle, 1999). Kebimbangan sosial boleh muncul daripada paras rendah hingga ke tahap yang melampau.

Contohnya, kebimbangan yang rendah ialah perasaan takut kepada situasi sosial tertentu seperti takut hendak menggunakan tandas awam atau berpidato; dan kebimbangan yang melampau ialah ketakutan yang dipanggil 'fobia sosial'. Fobia sosial yang berkait dengan perasaan malu adalah daripada jenis kebimbangan perlakuan (performance anxiety) dan ketakutan pentas (stage fright).

Perasaan malu daripada jenis ini benar-benar menjadi fobia dan penyakit jiwa jika ketakutan yang dialami seseorang dalam situasi yang dihadapinya tidak kendur; malahan menjadi kian buruk sehingga mengganggu utauan, ujaran, pidato atau penyampaian (Colby, 2000).

Asas kekhuatiran komunikasi terbentuk jika seseorang dilemparkan dengan terlalu banyak teguran sejak dia mula belajar bercakap sehingga dia percaya bahawa dia hanya akan mendapat reaksi negatif dan secara konsekuen mengelak reaksi negatif tersebut dengan cara menjadi pendiam, berbual dengan buruk, mengelak komunikasi lisan dan seterusnya mengalami kekhuatiran komunikasi. Seseorang yang mengalami kekhuatiran komunikasi mudah tersekat perbualannya sehingga muncullah perasaan malu, suka bungkam dan seterusnya mengalami kesekatlakuan perbualan (Holbrook, 1987).

Akhir sekali, terdapat perasaan yang diistilahkan sebagai 'malu sinis' (cynical shyness) oleh Carducci (2000). Beliau menjelaskan si malu merupakan orang yang disingkirkan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial. Mereka berasa amat marah, menyisihkan diri dan mengambil sikap superior. Pengasingan diri menutup pintu bagi mereka untuk berempati dengan orang lain, dan ini menjadikan mereka menghina orang lain dan membalas dendam kepada orang lain terhadap penyisihan yang mereka sendiri lakukan dengan menyemarakkan perasaan sinis (Carducci, 2000).

Malu dan Pencapaian Akademik

Dalam kelas, si malu menjadi tersekat laku, tidak yakin diri dan berkebimbangan sosial. Lebih buruk daripada ini mereka menjadi penyisih (withdrawn), tidak responsif, tidak komunikatif dan sentiasa berkhayal. Terdapat si malu yang menyisih oleh kerana sememangnya inilah sifat personaliti mereka; namun ada juga yang menyisih disebabkan faktor situasi yang memberi tekanan (Brophy, 1996). Tidak kira bagaimana si malu menjadi penyisih, mereka tentulah 'bagus' kerana tidak memberikan masalah disiplin dalam kelas.

Namun, mereka juga dianggap kurang pandai dan kurang diberikan tanggungjawab. Ini mengukuhkan lagi penilaian-kendiri mereka yang negatif terhadap diri sendiri. Akibatnya, mereka terjurus untuk mengelak kegagalan dan kurang bermotivasi pencapaian (Holbrook, 1987). Lazimnya, pencapaian akademik mereka tidak dapat dibanggakan walaupun ada di kalangan mereka yang layak masuk ke universiti.

Pelajar pemalu di universiti kurang meminta bantuan dalam pelajaran masing-masing. Mereka bungkam dan kurang aktif di universiti. Si malu cenderung menuduh diri sendiri apabila menghadapi kesukaran tanpa menyedari bahawa kemasukan ke universiti sebenarnya sukar bagi semua orang. Universiti merupakan tempat di mana ramai orang akan datang dan pergi silih berganti. Antaranya, terdapat orang yang perlu disaingi dan akhirnya dibandingkan keupayaan akademik masing-masing.

(Kajian Korelasi Emosi Malu dengan Pencapaian Akademik)

Kemungkinan pelajar yang pemalu tidak sempat mendaftar kursus yang benar-benar sesuai dengannya dan akhirnya memburukkan prestasi akademik sendiri. Ini diburukkan lagi sekiranya si malu mengalami kesekatlakuan komunikasi ketika ditanya soalan-soalan akademik, diminta membuat persembahan di khalayak atau menyediakan projek yang diberi penilaian (Brophy, 1996).

Crozier dan Garbert-Jones (1996) mengusulkan bahawa terdapat banyak pertindihan antara malu dengan kurang keyakinan diri. Pelajar pemalu didapati kurang yakin dengan keupayaan belajar mereka. Sekiranya pelajar pemalu merasakan pelajar-pelajar lain lebih pandai, mereka akan mengalami imej-kendiri akademik dan perasaan rendah diri. Terdapat banyak situasi yang boleh mencetuskan malu di universiti. Contohnya, bertemu dengan orang baru, menghadiri temu duga, berbual dengan pensyarah dan menghadiri tutorial.

Si malu menjadi segan hendak bertemu dengan pensyarah untuk berbincang. Pelajar pemalu akan merasa bimbang dan gerun untuk melibatkan diri dalam penghujahan dan perbincangan ketika menghadiri tutorial. Si pemalu terlalu bimbang dengan tutorial kerana risau sama ada dia berbual dengan betul, meninggalkan imej diri yang negatif dan menelanjangi kebodohannya di depan orang yang lebih pandai. Secara teorinya, pelajar pemalu di universiti merupakan 'budak baik' tetapi akan mengalami kemerosotan akademik.