BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 3 September 2009

Komponen Emosi Malu

Emosi malu menjadi kental sekiranya si malu mempercayai dirinya serba kekurangan untuk tampil di khalayak dan penampilan tersebut akan menelanjangi kekurangannya kepada orang lain (Berman, 1999). Wujudlah perasaan gerun di khalayak dan si malu mengalami kesekatan sosial (social inhibition).

Mereka berasa risau jika membuat sesuatu yang bodoh, bahlul atau silap yang akan dihina serta mendapat keaiban atau ditolak. Dalam keadaan ini, si malu mengalami peningkatan kesedaran-kendiri (self-consciousness), kebimbangan (anxiety), kebungkaman (reticence) dan kesekatlakuan sosial (social inhibition).

Kebimbangan daripada jenis 'kebimbangan sosial' berkait rapat dengan perasaan malu. Ia tercetus ketika seseorang berasa gugup direnung oleh orang lain (Cottle, 1999). Kebimbangan sosial boleh muncul daripada paras rendah hingga ke tahap yang melampau.

Contohnya, kebimbangan yang rendah ialah perasaan takut kepada situasi sosial tertentu seperti takut hendak menggunakan tandas awam atau berpidato; dan kebimbangan yang melampau ialah ketakutan yang dipanggil 'fobia sosial'. Fobia sosial yang berkait dengan perasaan malu adalah daripada jenis kebimbangan perlakuan (performance anxiety) dan ketakutan pentas (stage fright).

Perasaan malu daripada jenis ini benar-benar menjadi fobia dan penyakit jiwa jika ketakutan yang dialami seseorang dalam situasi yang dihadapinya tidak kendur; malahan menjadi kian buruk sehingga mengganggu utauan, ujaran, pidato atau penyampaian (Colby, 2000).

Asas kekhuatiran komunikasi terbentuk jika seseorang dilemparkan dengan terlalu banyak teguran sejak dia mula belajar bercakap sehingga dia percaya bahawa dia hanya akan mendapat reaksi negatif dan secara konsekuen mengelak reaksi negatif tersebut dengan cara menjadi pendiam, berbual dengan buruk, mengelak komunikasi lisan dan seterusnya mengalami kekhuatiran komunikasi. Seseorang yang mengalami kekhuatiran komunikasi mudah tersekat perbualannya sehingga muncullah perasaan malu, suka bungkam dan seterusnya mengalami kesekatlakuan perbualan (Holbrook, 1987).

Akhir sekali, terdapat perasaan yang diistilahkan sebagai 'malu sinis' (cynical shyness) oleh Carducci (2000). Beliau menjelaskan si malu merupakan orang yang disingkirkan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial. Mereka berasa amat marah, menyisihkan diri dan mengambil sikap superior. Pengasingan diri menutup pintu bagi mereka untuk berempati dengan orang lain, dan ini menjadikan mereka menghina orang lain dan membalas dendam kepada orang lain terhadap penyisihan yang mereka sendiri lakukan dengan menyemarakkan perasaan sinis (Carducci, 2000).

0 ulasan: