BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 3 September 2009

Malu dan Pencapaian Akademik

Dalam kelas, si malu menjadi tersekat laku, tidak yakin diri dan berkebimbangan sosial. Lebih buruk daripada ini mereka menjadi penyisih (withdrawn), tidak responsif, tidak komunikatif dan sentiasa berkhayal. Terdapat si malu yang menyisih oleh kerana sememangnya inilah sifat personaliti mereka; namun ada juga yang menyisih disebabkan faktor situasi yang memberi tekanan (Brophy, 1996). Tidak kira bagaimana si malu menjadi penyisih, mereka tentulah 'bagus' kerana tidak memberikan masalah disiplin dalam kelas.

Namun, mereka juga dianggap kurang pandai dan kurang diberikan tanggungjawab. Ini mengukuhkan lagi penilaian-kendiri mereka yang negatif terhadap diri sendiri. Akibatnya, mereka terjurus untuk mengelak kegagalan dan kurang bermotivasi pencapaian (Holbrook, 1987). Lazimnya, pencapaian akademik mereka tidak dapat dibanggakan walaupun ada di kalangan mereka yang layak masuk ke universiti.

Pelajar pemalu di universiti kurang meminta bantuan dalam pelajaran masing-masing. Mereka bungkam dan kurang aktif di universiti. Si malu cenderung menuduh diri sendiri apabila menghadapi kesukaran tanpa menyedari bahawa kemasukan ke universiti sebenarnya sukar bagi semua orang. Universiti merupakan tempat di mana ramai orang akan datang dan pergi silih berganti. Antaranya, terdapat orang yang perlu disaingi dan akhirnya dibandingkan keupayaan akademik masing-masing.

(Kajian Korelasi Emosi Malu dengan Pencapaian Akademik)

Kemungkinan pelajar yang pemalu tidak sempat mendaftar kursus yang benar-benar sesuai dengannya dan akhirnya memburukkan prestasi akademik sendiri. Ini diburukkan lagi sekiranya si malu mengalami kesekatlakuan komunikasi ketika ditanya soalan-soalan akademik, diminta membuat persembahan di khalayak atau menyediakan projek yang diberi penilaian (Brophy, 1996).

Crozier dan Garbert-Jones (1996) mengusulkan bahawa terdapat banyak pertindihan antara malu dengan kurang keyakinan diri. Pelajar pemalu didapati kurang yakin dengan keupayaan belajar mereka. Sekiranya pelajar pemalu merasakan pelajar-pelajar lain lebih pandai, mereka akan mengalami imej-kendiri akademik dan perasaan rendah diri. Terdapat banyak situasi yang boleh mencetuskan malu di universiti. Contohnya, bertemu dengan orang baru, menghadiri temu duga, berbual dengan pensyarah dan menghadiri tutorial.

Si malu menjadi segan hendak bertemu dengan pensyarah untuk berbincang. Pelajar pemalu akan merasa bimbang dan gerun untuk melibatkan diri dalam penghujahan dan perbincangan ketika menghadiri tutorial. Si pemalu terlalu bimbang dengan tutorial kerana risau sama ada dia berbual dengan betul, meninggalkan imej diri yang negatif dan menelanjangi kebodohannya di depan orang yang lebih pandai. Secara teorinya, pelajar pemalu di universiti merupakan 'budak baik' tetapi akan mengalami kemerosotan akademik.

0 ulasan: