BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 2 September 2009

IMPLIKASI TIDAK MALU

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amir: “Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu’.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW yang disampaikan Imran bin Hushain yang bermaksud: Malu itu tidaklah datang kecuali dengan membawa kebaikan. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)Abdullah bin Umar pernah mengatakan: Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja tanpa dibatasi rasa takutkan seksaan Allah dan segan dipandang orang, sebaliknya berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan perbuatan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi sebab berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini. Antaranya kerana hilang sifat malu dalam jiwa diri seseorang. Ketiadaan sifat malu pada diri seseorang, masyarakat dan pada sesuatu umat atau bangsa, akan memudahkan berlakunya segala macam kemungkaran.

Lantaran itu kehidupan manusia menjadi huru-hara, tiada lagi keamanan dan kesejahteraan.Ini menunjukkan betapa sifat malu mempunyai pengaruh dan kesan besar terhadap pembentukan akhlak dan tingkah laku seseorang serta pergaulan hidup sosial mereka. Oleh sebab tidak mempunyai perasaan malulah, seseorang itu sanggup membelakangkan dan melanggar hukum Allah. Mereka tidak lagi mengendahkan norma susila dan kesopanan hidup serta tidak mengenal lagi perikemanusiaan. Tingkah laku berubah menjadi kasar dan angkuh hingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Jelas di sini bahawa sifat malu umpama perisai yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Malah, sifat malu juga menjadi kayu ukur terhadap tahap keimanan seseorang dalam menentukan tinggi rendah akhlaknya. Ini kerana sifat malu dan iman adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan.

Hakikatnya, apabila seseorang manusia hilang atau tiada lagi sifat malu dalam dirinya, maka ketika itu tiada lagi perasaan segan silu untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah, sentiasa tunduk mengikut tuntutan hawa nafsu. Ini kerana hati dan jiwanya telah buta dan rosak. Dalam dirinya tiada lagi perasaan belas kasihan dan kasih sayang.Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebaginya. Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Jadi kawan-kawan...anda memilih untuk malu atau tak malu?atau buat-buat tak tahu malu? Fikir-fikirkanla...

0 ulasan: