BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 2 September 2009

KESAN POSITIF PERASAAN MALU

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita.

Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara. Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki , yang dapat menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Diantara kesan sifat malu ialah:

Al-'iffah iaitu kesopanan yang menghalang diri daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan keji.

Al-wafa' iaitu benar pada janji dan amanah. Al-Ahraf bin Qais berkata : " Dua perkara yang tidak terhimpun kedua-duanya selama-lamanya di dalam kehidupan manusia iaitu dusta dan maruah". Maruah yang dimaksudkan termasuklah benar, amanah, malu, dan kesopanan.

Sesungguhnya orang yang mempunyai sifat malu itu akan sentiasa dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan mungkar yang boleh mendatangkan keaiban pada dirinya atau orang lain dan menyebabkan nama atau kedudukannya tercemar. Oleh demikian, secara tidak langsung sifat malu dapat membentuk akhlak seseorang itu, sentiasa menjaga adab, tutur kata, perangai dan kelakuan yang sopan serta mendidiknya supaya suka melakukan perkara yang baik lagi berfaedah.

Misalnya, jika kita malu dikatakan sebagai orang yang tidak beramanah, maka pasti kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menunaikan janji dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan sempurna. Jika kita malu dikatakan sebagai penjenayah, maka pasti kita akan menjauhkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan seperti mencuri, merompak, merogol, mendera, membunuh dan rasuah. Begitu pula jika kita malu untuk dikatakan sebagai seorang yang tidak beradab, sudah pasti kita akan menjaga akhlak dan tingkah laku serta penampilan diri sama ada dari sudut pakaian atau tingkah laku.

0 ulasan: