BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Khamis, 13 Ogos 2009

MALU SEBAGAI PEMANGKIN KEJAYAAN

MALU adalah sifat semula jadi anugerah Tuhan kepada manusia. Umumnya, seseorang yang pemalu juga pendiam dan mungkin penakut serta lebih suka menyendiri dan mengasingkan diri daripada sebilangan besar masyarakat. Sifat malu yang berpada-pada amatlah dituntut oleh Islam. Ini sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." Sementara itu, rasa malu yang keterlaluan dan tidak terkawal mampu mengundang kemudaratan. Malah, boleh menjadi simptom penyakit yang memerlukan rawatan khusus.

Begitu juga, tiadanya sifat malu dalam diri seseorang akan turut mendatangkan pelbagai keburukan, bukan saja kepada orang itu, malah seluruh masyarakat.
Ini kerana sifat malu itu walaupun menjadi milik peribadi, turut dikongsi oleh setiap anggota masyarakat.
Bayangkan apa akan berlaku jika sifat malu ini tiada dalam sesebuah masyarakat. Tentu akan runtuh nilai akhlak dan perilaku moral mereka.
Perbincangan dalam tulisan ini cuba melihat sifat malu dari beberapa aspek yang secara khususnya berkait rapat dengan kesejahteraan diri dan masyarakat.
Sebenarnya malu adalah sifat dalam diri kita yang di antara lain akan membantu untuk tidak bertindak di luar batasan akhlak dan moral yang diterima masyarakat. Kerap kali juga kita mendengar seseorang yang berjaya dalam akademik dan kerjaya sebenarnya seorang pemalu.

Mereka malu apabila tidak dapat mencapai kejayaan dalam hidup seperti orang lain. Dalam keadaan ini, sifat malu didapati mendorong atau meningkatkan daya motivasi seseorang untuk mencapai kebahagiaan hidup dan inilah yang sewajarnya berlaku.
Namun, ada juga keadaan mereka yang bersifat malu, namun tetap bertindak di luar batasan perilaku normal. Malah tidak kurang juga peristiwa menyayat hati yang dilaporkan berlaku seperti kejadian bunuh diri atau membunuh orang lain membabitkan seseorang yang dikatakan sebagai pendiam dan pemalu.

Memang ada alasan tertentu mengapa mereka bertindak demikian. Oleh itu, kita sewajarnya berwaspada dalam memelihara batasan perbuatan agar tidak tersasar daripada landasan yang betul. Cubalah renungkan maksud hadis yang dapat memberi banyak maksud tersirat ini.
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Hassan al-Basri bermaksud: Sifat malu itu ada dua bahagian, bahagian dari iman dan bahagian dari kelemahan.
Kerana itu, seseorang perlu terlebih dulu mendalami diri dan keadaan malunya sebelum mampu mengatasi sifat itu. Kemudian adalah wajar dia menyingkap, adakah sifat malu berkenaan bertepatan dengan masa dan tempat? Atau sebaliknya, sebelum boleh melakukan pelbagai kegiatan berkesan bagi mencegah dan mengatasinya. Seseorang yang memiliki sifat malu secara keterlaluan dilihat juga sebagai seorang yang mudah berasa takut, bimbang, cemas dan runsing. Kebiasaannya ketakutan akan melanda apabila mereka terpaksa berhadapan dengan seseorang yang disegani, tidak dikenali atau apabila diminta memberi pendapat di khalayak ramai.

Mereka amat risau jika pendapat mereka dikritik atau tidak diterima orang lain.
Perasaan malu ini, akhirnya menyebabkan mereka terkaku serta tidak dapat memberikan pendapat, lalu mula menghindari sebarang interaksi dengan orang lain dan pelbagai kegiatan sosial lain.

Keadaan ini juga biasanya akan menekan fikiran dan emosi serta kehidupan mereka. Mereka mula berasa menyesal dan sedih atas masalah ini.
Selain itu, ada yang berasa malu keterlaluan kerana risau dengan penampilan imej diri dan cara mereka berkomunikasi dengan khalayak. Malah tidak kurang yang berasa terlalu malu terhadap latar belakang sendiri, terutama mereka daripada keluarga miskin dan bermasalah atau berpenyakit mental, jangkitan HIV/Aids dan sebagainya. Mereka bimbang terhadap tanggapan negatif orang ramai terhadap diri mereka.

Pendek kata, sifat malu secara keterlaluan itu datang daripada pelbagai punca berlainan dan berkaitan pula dengan rasa bimbang, takut dan cemas.
Golongan seperti ini memerlukan satu bentuk program pemulihan dan peningkatan keyakinan diri melalui kaedah latihan dan kaunseling.
Seterusnya kita bincangkan pula beberapa sebab seseorang itu mempunyai sifat malu secara berlebihan berbanding orang lain.

Simptom dan reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang memiliki sifat malu secara melampau ini sebenarnya sama walaupun berpunca daripada sebab berbeza. Contohnya, mereka pasti takut, cemas dan bimbang serta suka menyendiri dan tidak mudah untuk berinteraksi dengan orang ramai. Begitu juga, sukar menyesuaikan diri, tiada keyakinan diri dan kurang berani menyuarakan pendapat secara bebas di khalayak ramai.
Soalnya, mengapa keadaan ini berlaku? Ada beberapa perkara yang seharusnya diberi perhatian jika seseorang memiliki sifat malu secara keterlaluan yang mengganggu proses kehidupannya secara normal.
Dalam kebanyakan masa, mereka yang bersifat malu secara melampau mempunyai pelbagai bentuk pemikiran negatif dan tidak membina. Pemikiran negatif ini dijadikan kayu ukur dalam menilai diri sendiri, orang lain dan kehidupan secara keseluruhan. Bentuk pemikiran seperti ini harus dikenal pasti dan setakat mana ia menyumbang kepada sifat malu yang ada, wajar diperhalusi. Seterusnya ia perlu diubah supaya menjadi lebih positif, menyenang dan meningkatkan keyakinan diri.
Pss..: Kita perlu memiliki sifat malu, tetapi bukannya seorang yang pemalu secara tidak bertempat atau keterlaluan. Ini kerana tanpa disedari kita yang akan menggelapkan masa depan sendiri akibat kejahilan dan kekurangan yang tidak diperbaiki.

0 ulasan: