BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Selasa, 8 September 2009

MENJAGA PANDANGAN MATAMU..

jagalah pandangan matamu..

malulah untuk melihat atau memperlihatkan sesuatu yang tidak patut dilihat atau diperlihatkan...

tanamkan sifat malu agar dapat mencegah mata daripada melakukan dosa..

wahai muslimah, hayatilah video ini dan semaikanlah rasa malu dalam diri anda.....

Ahad, 6 September 2009

Lupakan MALU sejenak..


Tanpa mengira usia anda boleh mula mencipta nama sekarang. Mulakan sekarang tanpa rasa rendah diri mahupun malu..

Seorang pelajar Cina 14 tahun telah menerbitkan 8 buah buku tentang alat muzik. Peserta termuda Malaysia ke sukan Olimpik juga berusia 14 tahun - sukan perahu layar.Apakah anda fikir anda telah terlalu tua untuk mencipta nama?

Seorang usahawan Jepun berusia 56 tahun yang telah jatuh bangun dalam dunia perniagaan bertekad tidak akan menoleh ke belakang. Anda tahu siapa dia sekarang? Dalam usia hampir 80 tahun dialah jutawan terkaya di Jepun! Jadi anda harus bermula sekarang. Bagaimana?

1. Tetapkan bidang yang anda akan ceburi secara serius.
2. Tetapkan masa 1-2 jam sehari untuk merancang dan memulakan usaha anda.
3. Tidak ada yang mustahil dalam hidup ini.
4. Dapatkan kemahiran dalam bidang yang anda ceburi melalui kursus, pembacaan, internet, interaksi dengan orang yang telah berjaya dan pengamatan dalam kehidupan seharian.
5. Mulakan dari bawah.
6. Tambah kecintaan anda dengan memperuntukkan masa 2-3 jam sehari.
7. Bawa bidang yang anda akan ceburi dalam segenap aspek kehidupan anda seperti SMS, bercakap dengan kawan, menulis rencana, buat poster didinding, tanamkan keyakinan anda kepada orang terhampir dan visualkan kejayaan anda dalam bidang itu selama 15 minit sebelum tidur.

Percayala..bila anda tinggalkan perasaan malu dalam diri anda itu,kejayaan sedang menunggu anda di hari muka..Berusahalah,moga beroleh kejayaan!

MOTIVASI DIRI..

Apakah anda sering rasa malu, rendah diri, marah atau melenting apabila dikecil-kecilkan orang atau kawan anda sendiri? JANGAN SEKALI-KALI! Orang merendahkan anda kerana beberapa sebab:

1. Untuk menyembunyikan kelemahannya.
2. Untuk merangsang anda supaya melawan.
3. Untuk membenarkan pendapatnya.
4. Cemburu dengan kejayaan atau pencapaian anda.

Sebab itu apabila ada orang memperkecilkan atau memperlecehkan usaha anda ini bermakna:
1. Anda ada kualiti.
2. Anda dalam proses menempa kejayaan.
3. Kehadiran anda mula dirasai orang.

Bagaimana anda menanganinya?
1. Jangan marah.
2. Jangan melenting.
3. Ambil perhatian apa yang diutarakan.
4. Balikkan saranannya.
Contoh: Jika orangberkata,"Kamu lembap!" Maka hendaklah anda lebih cergas dan proaktif.

Anda adalah diri anda. Orang lain tidak mampu menjatuhkan anda. Orang mengkeji anda tak ubah seperti anjing menyalak bukit. Ambil perhatian apa yang diperkatakan. Ambil point itu untuk membaiki diri anda. Hanya usaha anda sendiri yang akan mengubah hidup anda.
SELAMAT BERJUANG.

Motivasi dari: Haji Muhammad Zakaria

Masalah&Jawapan..

SOALAN:

Saya seorang pelajar yang amat pendiam dan suka menyendiri. Walaupun, berjaya menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, namun masih lagi dihantui perasaan kurang yakin dengan kemampuan diri. Kadang-kala saya berasa malas hendak ke kuliah secara tiba-tiba dan hilang tumpuan.Saya juga kurang yakin untuk bergaul dengan pelajar lain. Terus terang saya katakan saya berasal daripada keluarga susah. Ibu bapa saya bekerja kampung dan tidak banyak berbual dengan saya, malah banyak menghabiskan masa mereka membanting tulang untuk menyekolahkan saya dan adik. Mungkin saya terlampau mementingkan diri, tetapi hakikatnya ada ketika dan masanya, ingin juga rasakan suasana keluarga seperti keluarga pelajar remaja lain.

PELAJAR HILANG TUMPUAN,Alor Gajah, Melaka

JAWAPAN:

Adik amat bertuah kerana mempunyai ibu bapa yang begitu komited dan sanggup berhabisan demi untuk masa depan anaknya. Oleh itu, hargailah pengorbanan mereka.Kini adik berada di institusi pengajian tinggi. Hal ini bermakna, adik mempunyai cukup kelayakan untuk diterima masuk ke situ. Maka, pisau sudah berada pada tangan kanan manakala mentimun pada sebelah kiri. Terpulanglah pada diri adik untuk menghiris atau memotong mentimun itu. Atau adik memilih untuk tidak melakukan apa-apa.Adik harus perlu sentiasa mengingati diri bahawa adik harapan keluarga. Adik juga perlu nekad dan tanamkan semangat untuk dapat mengubah masa depan keluarga.

Seperkara lagi, adik hendaklah membuktikan diri adik sebagai contoh teladan dan ikutan bagi adik yang lain untuk turut mengikuti jejak langkah dalam mencapai cita-cita mereka.Mungkin perkara berikut boleh membantu untuk mengekalkan prestasi memuaskan dalam pengajian:Carilah teman sekuliah atau kumpulan perbincangan supaya dapat memberi nasihat dan tunjuk ajar ketika terasa kurang bermotivasi.Untuk ini, adik harus juga berhati-hati iaitu perlu bijak memilih kawan. Bukan kawan yang sokong membawa rebah, kawan yang mendorong adik membuang masa, melakukan perkara yang sia-sia dan tidak sepatutnya.

Berjumpa dengan kaunselor atau penasihat akademik di fakulti atan pusat pengajian (sekiranya tiada, cari pensyarah yang dapat memahami) untuk sentiasa mendapat khidmat nasihat dan kata-kata dorongan.Ramai pelajar universiti agak keberatan untuk berjumpa dengan pensyarah subjek masing-masing. Apatah lagi dengan penasihat akademik yang sememangnya diperuntukkan kepada setiap pelajar.Sesungguhnya, tiada yang lebih menggembirakan hati pensyarah, selain dapat meluangkan waktu bersama pelajar dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.Sentiasa membuat jadual belajar yang terancang dan bijak mengurus masa.

Perkara ini boleh ditimba daripada perbincangan dengan pelajar lain. Jika tidak pun, boleh menentukannya sendiri kerana adik boleh mengukur sejauh mana kemampuan diri dalam memberikan tumpuan kepada sesuatu perkara. Tiada orang yang lebih mengenali diri adik selain diri sendiri.Budayakan teknik pembelajaran yang efektif. Pembelajaran efektif bukan bermaksud duduk menghadap buku berjam-jam lamanya. Dalam kebanyakan kes, perbuatan ini hanya sia-sia. Kadang-kala, dengan memberikan tumpuan dan perhatian dalam masa yang cukup dan padat akan lebih membuahkan hasil memuaskan.

Pastikan adik membabitkan diri dengan kegiatan lain selain belajar seperti bersukan, berpersatuan dan sebagainya. Ia supaya adik tidak cepat berasa dengan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran. Fizikal cergas akan melahirkan otak cerdas.Sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan petunjuk dan hidayah serta dijauhi daripada perasaan malas dan tidak bersemangat.Selalu berhubung dengan ibu ayah adik. Sungguhpun kemungkinan adik tidak berupaya untuk memiliki alat komunikasi moden, canggih dan terkini seperti remaja lain, tidak ada alasan untuk tidak selalu berhubungan dengan mereka.

Cara lama seperti berutus surat mempunyai kesan yang mendalam kerana surat boleh disimpan dan dibaca berulang kali. Cubalah meluahkan perasaan dan menyatakan kasih sayang kepada mereka.Ibu ayah mana yang tidak akan tersentuh hati dengan kiriman surat daripada anak. Carilah peluang untuk mendapatkan restu mereka, terutama ibu.Sentiasalah berada dalam kalangan pelajar yang rajin mendekati masjid, melaksanakan solat jemaah dan merancang kegiatan kerohanian yang berfaedah di antara pelajar.

Akhir sekali, teliti maksud ayat 11, surah ar-Ra’d sebagai pedoman. Firman Allah bermaksud : “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri...”Pepatah Melayu ada menyatakan ‘kalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya’. Keluarlah daripada tempurung pemikiran sempit yang menyekat dan mengongkong diri dan melihat diri dari sudut yang lebih positif.

Jawapan oleh Profesor Madya Umi Kalthum Ngah, Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik Universiti Sains Malaysia.

Jom Atasi Rasa Malu

1. Tingkatkan rasa penghargaan kendiri. Iaitu dengan cara menerima diri tanpa syarat. Kita dapat menerima diri kita terutamanya keadaan fizikal yang sedia ada dengan reda dan kita patut bersyukur atas kejadian fizikal kita yang nengandungi hikmah yang nikmatnya tidak terhitung banyaknya. Dengan cara ini kita akan mula menyayangi, menerima dan menghormati diri kita.

2. Harga diri juga dapat ditingkatkan melalui cara penampilan diri kita iaitu cara kita berpakaian. Imej pakaian anda menjadikan anda begitu teruja dan akan mengikiskan rasa malu kerana penampilan berpakaian yang akibatkan kita rasa rendah diri. Belajarlah cara berpakaian mengikut situasi tertentu supaya anda kelihatan menarik dan anggun. Dengan cara ini anda tidak akan malu dengan penampilan diri yang baru.

3. Jika anda malu untuk berkomunikasi maka anda hanya perlu belajar cara yang betul untuk meninkatkan kelancaran pertuturan dan mesej penyampaian anda secara verbal dan non verbal iaitu lisan dan bukan lisan. Bukan lisan adalah seperti nada suara, mimik muka, gerakan tangan, kaki , bahu dan badan anda serta jarak yang sesuai. Penyampaian mesej yang berkesan akan meningkatkan penampilan diri anda . Mereka akan kagumi anda dan seterusnya keyakinan baru ini meningkatkan rasa percaya diri yang dapat menghilangkan rasa malu.

4. Hentikan mengkritik diri anda secara negatif. Kritikan perlu dibuat sebagai panduan untuk membina kredibiliti anda. Sebagai contoh anda mengkritik diri anda sukar untuk mudah mesra, maka anda pewrlu bertanya pada suara hati anda bagaimanakah caranya saya dapat meningkatkannya. Apa sahaja bicara diri yang menidakkan kebolehan anda maka anda perlu bertanya dan terus bertanya supaya anda dapat meningkatkannya.

5. Jaga setiap kata-kata bicara negatif sama ada dari diri anda atau pun bicara luaran yang menidakkan kebolehan anda. Setiap kali berlaku penafian kebolehan anda maka apa yang perlu dilakukan adalah berikan cabaran pada diri anda ialah ucapkan terima kasih dan mulai perbaiki dan tingkatkan diri anda pada mana-mana kelemahan yang ada. Cari cara-cara bagaimana anda dapat meningkatkan diri anda dan seterusnya laksanakan program tersebut.

6. Iktirafkan segala pencapaian anda walau sekecil manapun. Ulangi ucapan kata-kata pujian dan syukur pada Allah atas pencapaian kejayaan anda. Sebutkan selalu sehingga melekat di sanubari anda.

7. Bicara diri positif dapat meningkatkan rasa percaya diri bagi mengikis rasa malu.Katakan pada diri anda secara berulang-ulang apabila ada sesuatu perkara yang ingin anda lakukan bahawa anda pasti dan mesti melakukan.

8. Bergaul selalu dengan orang-orang berjaya bukan untuk dibuat perbandingan yang boleh menjadikan anda semakin malu tetapi belajar dan perhatikan personaliti orang berjaya sebagai panduan kepada anda membina rasa hebat diri.

9. Raptai mental perlu dilakukan supaya anda sentisa dapat 'melihat' diri anda yang hebat dan dikagumi oleh orang sekeliling. Buat latihan berulang kali pada setiap perkara yang anda ingin lakukan . 'Lihat' dulu peristiwaa tersebut sebagaimana yang anda inginkan supaya anda dapat melakukan yang terbaik apabila situasi itu anda lakukan nanti.

10. Berikan cabaran pada diri anda untuk melakukan perkara yang anda takut kerana inilan cara terbaik untuk anda atasi rasa malu. Pengalaman-pengalaman hebat yang anda lalui akan dapat membina rasa percaya diri bagi atasi rasa malu.

11. Ingat! Setiap orang adalah hebat dan unik. Sentiasa rasakan anda orang yang penting dan sesiapa sahaja orang yang anda temui adalah penting. Jadi dengan cara ini anda tidak akan rasa malu kerana harga diri anda telah anda tingkatkan dari masa ke semasa.

12. Akhir sekali berdoalah pada Allah untuk hindari rasa malu dalam diri anda.

Kenapa Perlu Malu??


Rasa malu bagi seseorang merupakan daya kekuatan yang mendorongnya menjauhi segala perilaku tidak patut dilakukan olehnya. Orang yang memiliki watak malu adalah orang yang cepat mengelakkan diri daripada segala bentuk kejahatan. Sebaliknya, yang tidak memiliki rasa malu bererti dia tetap tenang walaupun melakukan kejahatan.

Islam menilai, watak malu itu sebagai sebahagian dari iman. Dengan demikian, orang yang tidak mempunyai rasa malu adalah orang yang hilang imannya. Orang hidup bermasyarakat sudah tentu harus mendengarkan apa kata masyarakat tentang dirinya. Para ulama ada yang menyatakan bahawa orang yang hilang perasaan malunya adalah daripada golongan orang yang sudah terbiasa berbuat kemungkaran dan kemaksiatan dalam segala jenis dan bentuknya.

Rasulullah bersabda: ”Sesungguhnya yang dapat diambil sebagai pelajaran dari para nabi terdahulu ialah, apabila kamu sudah tidak mempunyai perasaan malu maka berbuatlah semaumu;” riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Berdasar riwayat Ibnu Umar, Rasulullah turut bersabda: ”Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung, bila berkehendak menjatuhkan seseorang maka Allah cabut dari orang itu rasa malunya. Ia hanya akan menerima kesusahan (ramai orang yang marah kepadanya)

Melalui ungkapan kemarahan itu, hilang pulalah kepercayaan orang kepadanya. Bila kepercayaan kepadanya sudah hilang maka ia akan jadi orang yang khianat. Dengan menjadi khianat maka dicabutlah kerahmatan dari dirinya. Bila rahmat dicabut darinya maka jadilah ia orang yang dikutuk dan dilaknati orang banyak.

Pentingnya MALU..

Rasulullah saw bersabda:

“Malu itu mengandungi kebaikan” (Muslim:156, Abu Dawud:4796)

“Malu itu tidak mendatangkan sesuatu kecuali kebaikan.” (Bukhari:5766, Muslim:155)

“Malu itu sebahagian daripada iman dan iman tempatnya disyurga sedangkan buruk akhlak itu sebahagian dari kekerasan hati dan tempatnya dineraka. (Tirmizi:2009)

“Malu dan iman keduanya tidak boleh dipisahkan. Jika satunya terangkat maka yang lain jua turut terangkat.”(Musnad al-Hakim, 1:22)

“ Cabang iman itu terdapat 63 bahagian. Sedang malu itu sebahagian daripada iman.” (Bukhari:9 & Muslim:151)

“Cabang iman itu 63 bahagian. Yang tertinggi adalah mengucapkan Lailaha illa Allah. Bahagian terendah adalah membuang rintangan dijalanan. Adapun malu itu sebahagian daripada iman.”(Abu Dawud:4676)

“Sesungguhnya setiap agama ada akhlak tersendiri dan akhlak Islam adalah malu” (Ibnu Majah:4181)

Hadith tersebut tidak bererti satu-satunya akhlak dalam Islam adalah malu akan tetapi akhlak yang paling sempurna dalam Islam adalah sifat malu. Betapa agungnya malu dalam akhlak Islam!

“Sesungguhnya apa yang diketahui oleh manusia dari sabda kenabian terdahulu ialah; Jika engkau tidak malu maka lakukanlah sesuka hati kamu.” (Bukhari:348, Ibnu Majah:4183)

Oleh itu kita dapat fahami:
1) Ancaman, jika tidak malu maka buatlah sesuka hati dan nantikanlah balasan Allah swt.
2) Kerja keras tanpa keluh kesah. Jika pekerjaan yang anda lakukan itu tidak tercela maka lakukanlah dengan sungguh-sungguh dan tulus ikhlas tanpa rasa malu.

Apabila Wanita Itu MALU..

Wanita itu berjalan malu-malu

Firman Allah swt dalam al-Quran ketika menggambarkan wanita anak Nabi Syuaib berjumpa Nabi Musa as:

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan, ia berkata: "Sesungguhnya bapakku memanggil kamu agar ia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami." (al-Qashash:25)

Renungilah ayat ini dan bacalah sekelian kalinya hingga kita berfikir mengapa begitu lengkap dan sempurna pernyataan Allah dalam menguraikan bagaimana anak Nabi Allah Syuaib tatacaranya berjalan? Seolah-olah kita merasakan bahawa perkataanya jua gaya jalannya menunjukkan rasa malunya. Seluruh badannya menunjuk rasa malu yang agung, menjaga kehormatan diri dan maruah wanita dan jua manusia seluruhnya. Sesungguhnya rasa malu bagi wanita itu adalah perisai tak tertembusi oleh manusia lain, andai saja dia pandai menjaga perisai malunya. Tuntutan rasa malu kepada wanita adalah fitrah kerana wanita itu sendiri lembut dan sopan melebihi lelaki.

Adalah dikesalkan pada zaman ini kita sudah ketandusan generasi sebegini. Namun disebalik redup ketandusan ini, Allah tidak menghilangkan golongan yang masih mempunyai harga diri. Masih terdapat yang memelihara aurat mereka dengan sempurna, menjaga pergaulan bebas, bersifat malu selayaknya wanita. Umpama mutiara sempurna tersusun rapi didalam bekas yang terjaga. Biarpun berdepan arus globalisasi dan modernisasi yang kuat mengfitnah, insya Allah yang memberi ketenangan pada hambaNya yang soleh dan solehah.

Arus feminisme dan emansipasi wanita jua turut memberikan tekanan, yang melaungkan kebebasan yang superficial kerana hakikatnya mereka mengeluarkan diri dari keistimewaan dan darjat tinggi yang telah diberikan Islam. Hasilnya wanita yang bersikap tidak senonoh, menghina diri untuk menarik perhatian orang lain khususnya lelaki, dan hilang sifat kewanitaan.

Musuh Islam sangat gembira dengan hakikat ini kerana tidak cukup dengan wanita Eropah untuk dirosakkan, wanita di Timur khususnya wanita Islam menjadi matlamatnya.Tegakkanlah rasa al-haya dalam diri kita. Itu adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan tidak terbanding dengan apa yang ada pada dunia dan seisinya. Wallahu al-Musta’an.

Tanpa Rasa Malu..

Jika dicabut rasa malu itu maka tunggulah saat kehancuran..

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya maka ia akan menghilangkan rasa malunya, maka jika telah dicabut rasa malunya kamu tidak akan menjumpainya lagi kecuali ia membenci dan dibenci dan dicabutlah rasa amanah darinya. Maka jika dicabut rasa amanah darinya engkau tidak akan menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dan jika engkau tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati dicabutlah rasa kasih saying daripadanya. Dan jika kasih saying dicabut darinya maka engkau tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat. Maka dicabutlah keislaman darinya.” (Ibnu Majah:4054)


Subhanallah..Awal kehancuran adalah dicabutkan rasa malu. Astaghfirullah, di jalanan kita mendapati terlalu ramai manusia yang sudah hilang sifat malu. Mereka tidak malu dan secara terbuka melakukan kezaliman dan kemaksiatan sedangkan kita yang melihat sendiri yang berasa malu atas perbuatan mereka. Sedang mereka bangga dan bersikap acuh tidak acuh terhadap perkara yang mereka lakukan.

Bacalah sekali lagi hadith diatas, dan tanyalah diri kita. Adakah kita mempunyai sifat????

Tips Atasi MALU..

Ketergesaan dalam semua perkara yang bergerak pantas seringkali membuatkan kita kehilangan masa untuk diri, malu untuk menjadi diri sendiri tetapi lebih senang membiarkan diri mengikut perjalanan arus sekeliling. Berikut 9 keadaan yang dapat mengarahkan kita kembali ke diri sendiri dan berani menghadapi hari mendatang.Janganla malu menjadi diri sendiri,teruskan melangkah walau bagaimana sekalipun cara anda..

1. Hadir
Hiduplah untuk saat ini. Masa lalu telah berlalu. Anda tak akan dapat kembali dan mengulang masa-masa itu lagi. Kehidupan ini adalah apa yang sedang anda jalani saat ini, tak peduli apapun yang telah terjadi. Itu semua nyata dan sempurna. Jangan tengok ke belakang ataupun terlalu memikirkan apa yang akan terjadi di masa mendatang. Fikiran kita selalu menciptakan berbagai percakapan yang mengembangkan rasa takut dan membuat kita berusaha menyelamatkan diri. Katakan pada fikiran anda yang sibuk berbicara itu: "Setiap hari, kita semua harus selalu membuat pilihan dan aku lah yang paling tahu bagaimana membuat hari yang aku jalani ini menjadi indah belaka"

2. Bersatu Dengan Alam
Duduklah di kawasan rumput atau di bawah sebuah pohon. Rasakan putaran bumi, keagungan angkasa raya, dinginnya udara yang menerpa wajah anda, atau kehangatan sinar matahari pagi yang diciptakan Ilahi ini. Tersenyumlah pada langit yang luas, ucapkan salam pada lebah yang berterbangan dan keadaan berddekatan dengan alam itu dapat membawa kesedaran betapa anda sebahagian dari alam ciptaan Allah yang maha luas ini. Jadi,kenapa harus anda malu menjadi diri sendiri??

3. Berolahraga
Berolahraga secara teratur akan memberi perbezaan pada fikiran yang terus berkecamuk, membantu memperlancarkan peredaran darah, membersihkan racun dari tubuh badan, dan memberi anda tenaga serta banyak keuntungan lain. Pilihlah aktiviti yang memberi anda kesenangan dan gembira. Lakukannya tanpa memikirkan apa yang orang lain katakan pada anda kerana ANDA adalah ANDA..

4. Spiritual
Kenali dan sedarlah anda adalah insan yang mempunyai peribadi penting dan unik. Lakukan meditasi, atau duduk tenang di kesunyian, dan nikmati saat-saat itu. Baca buku-buku keagamaan atau panduan keperibadian yang membawa pesanan dan motivasi positif serta membuat anda merasa kuat. Jangan lupa bersyukur atas kesihatan yang anda miliki, harta benda, orang-orang yang mencintai dan anda cintai, teman-teman yang mengelilingi Anda, serta kebahagiaan dan kegembiraan yang melingkupi hidup anda. Dengan segala kelebihan dan kekuatan yang dikurniakan untuk anda, mengapa anda malu dan takut menjadi diri sendiri?

5. Memaafkan
Saatnya untuk melepaskan kemaafan. Maafkan seluruh bahagian diri anda atas segala kekurangan dan ketidaksempurnaan. Maafkan diri anda untuk semua kesalahan yang pernah anda buat di masa lalu, maafkan ketakutan masa kecil anda dan maafkan emosi dan kemarahan masa remaja anda. Maafkan kesalahan orang tua anda, saudara kandung, saudara-mara dan orang-orang di masa lalu. Lepaskan semua dendam di hati anda. Percayalah memaafkan membawa kedamaian dalam jiwa dan anda kemudiaannya berani menjadi diri sendiri tanpa rasa malu.

6. Bersenang-Senang
Beri kesempatan pada diri anda untuk merasa rileks dan memanjakan diri. Baca buku yang menyenangkan. Keluarkan wang sesekali untuk membeli benda yang paling anda inginkan. Lakukan kesenangan hanya untuk diri sendiri. Biarkan apa tanggapan orang lain kerana anda tahu siapa anda yang sebenarnya.

7. Buang Penilaian
Berhentilah menilai dan menyalahkan. Jangan melontarkan kritikan pada orang lain ataupun diri sendiri. Ucapkan kata-kata yang memberi dorongan pada diri dan semua orang yang anda jumpai. Terima orang lain apa adanya, lengkap dengan segala perbezaan yang mereka miliki. Percayalah,orang lain akan menerima anda seadanya jua.

8. Bantu Orang Lain
Hulurkan tangan pada teman yang memerlukan. Tawarkan bantuan tanpa syarat pada orang lain. Jadilah pendengar yang baik dan benar-benar mendengar apa yang dikatakan orang lain. Carilah cara untuk membantu orang lain mengurangkan beban hidup dengan mendengarkan keluh kesah mereka.

9. Cinta
Cintai diri anda dan gunakan kata-kata positif untuk memberi dorongan. Puji orang lain dengan tulus dan buat mereka tersenyum. Bicaralah dengan penuh kasih dan ketulusan dari dasar hati.
Dengan mencintai diri anda,anda akan berani menghadapi hari mendatang dan menerima walau apa jua keadaan diri anda.

Selamat mencuba!jadilah diri sendiri tanpa rasa malu...^-^

Khamis, 3 September 2009

LANGKAH MENGATASI PERASAAN MALU

Rasa malu adalah sebuah kombinasi dari kegugupan sosial dan pengkondisian sosial. Untuk mengatasi rasa malu ini, yang anda perlukan adalah belajar bersikap rileks dalam pergaulan sosial. Untuk memulai mengurangi rasa malu, bagi anda yang pemalu, ada beberapa hal di bawah ini yang mungkin dapat anda praktikkan.

Buat pertanyaan terbuka pada semua orang. Banyak orang yang lebih senang bicara tentang diri mereka sendiri, dan temukan sebuah topik yang membuat orang lain tertarik. Apa yang membuat mereka tertarik akan membuat perbicangan berjalan menyenangkan bagi semua orang. Selalu ajukan pertanyaan yang memungkinkan jawapan lebih dari ya/tidak.

Pikirkan tentang cara anda merasa dan bertindak di sekitar orang-orang yang telah anda kenal, dimana anda boleh merasa nyaman dan bersikap spontan. Alihkan perasaan itu saat anda bertemu kenalan baru, begitu pula dalam situasi yang membuat rasa percaya diri anda memudar.

Hindari terlalu memperhatikan diri anda sendiri. Tentu saja, anda boleh sedikit memikirkan tentang bagaimana anda akan melewatkan perbicangan dengan orang ramai, tapi jika seluruh fokus anda tercurah pada kata-kata sendiri dan perasaan anda, selanjutnya anda akan mulai merasa gugup sendiri. Ingat-ingat apa yang dikenakan oleh orang lain dan buat catatan tersendiri, dengarkan apa yang mereka perbincangkan, bayangkan dimana mereka tinggal, buat sebuah garis besar atau ingat-ingat nama mereka.

Nikmati waktu anda. Hindari mengatakan hal-hal tanpa berfikir terlebih dulu. Ajukan pertanyaan, dan jika mendapat pertanyaan, anda dapat mempertimbangkan jawapan terlebih dahulu sebagai tanggapan anda, jangan asal menjawab tanpa berfikir. Jawapan yang diluncurkan dengan perlahan merupakan cara bersikap santai.

Berhentilah percaya pada imiginasi anda. Mungkin anda pernah membuat gambaran tentang sebuah perkara yang menyenangkan dan pada kenyataanya jauh berbeda dari yang anda bayangkan. Itu menunjukan betapa tak dapat dipercayanya bayangan kita sendiri. Berhentilah memikirkan apa yang difikirkan orang lain.

Berhentilah memikirkan ''segalanya atau bukan apa-apa.'' Pemikiran ''pasti begini/pasti begitu'' tertuang saat anda mengalami emosi. Orang-orang yang sedang stress, marah dan gelisah melihat kenyataan dari hal-hal ini dengan perbezaan yang ekstrim. Bagi orang yang sedang marah ''Anda salah'' dan ''mereka benar,'' orang yang marah akan melihat dirinya ''gagal'', sedang yang lain ''berhasil.

Akhirnya, gunakan latihan hipnotis. Hipnotis merupakan cara tercepat untuk mengubah tanggapan emosi anda dalam setiap situasi. Hanya fikirkan bahawa fikiran dan tubuh anda dalam keadaan rileks sewaktu bertemu orang baru. Sebenarnya, sewaktu anda merasa santai seringkali anda akan menemukan saat yang tepat untuk menerapkan hipnotis agar merasa lebih percaya diri saat berhadapan dengan orang-orang baru, dan tentu saja pada titik ini rasa malu akan tersingkir dengan sendirinya.

Fakta Tentang MALU!!

Takrif Malu Mengikut Psikologi

Emosi malu bukan kewaspadaan (wariness). Seorang bayi yang waspada terhadap orang yang tidak dikenali tidak mendekat-mengelak (approach-avoidance) yang merupakan sifat malu. Emosi malu bukan penyisihan sosial (social disengagement). Contohnya, sebilangan kanak-kanak lebih suka bermain sendirian, walaupun mereka tidak mengalami tekanan perasaan malu yang sebenar (Hyson & van Trieste, 1987).

Emosi malu bukan fobia sosial. Si fobia sosial membesar-besarkan ketakutan mendapat keaiban di khalayak atau disingkir orang dan tidak berkuasa untuk berbuat apa-apa. Mereka mengelak sepenuhnya pertemuan dengan orang baru dan mengalami gangguan psikologi yang menjadikan mereka sebagai pertapa dan mencacatkan pergaulan, mendukacita dan mengganggu kehidupannya (Cottle, 1999). Malu – walaupun amat teruk – bukanlah gangguan psikologi (Wagner, 1998).
Emosi malu bukanlah perasaan rendah harga-kendiri. Pemalu amat pasti tentang kebolehan masing-masing di luar situasi sosial yang mereka sendiri tidak terasa malu. Malu juga bukan introvert kerana tidak seperti si introvert, si malu mahu berinteraksi dengan orang-orang lain, tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana berasa gusar (Carolyn, 2000; Kamath & Kanekar, 1993).

Penyuburan Rasa Malu

Seseorang mempunyai prasediaan genetik bagi kebimbangan dan 'temperamen' secara am yang mungkin berkait dengan malu. Contohnya, keselarian ketakutan sosial di kalangan kanak-kanak kembar monozaigotik lebih tinggi berbanding kembar daizaigotik (Hudson & Rapee, 2000).

Terdapat lebih kurang 20% jumlah bayi dilahirkan dengan 'temperamen kesekatlakuan'. Mereka mempunyai keadaan fisiologi yang sensitif dan reaktif melebihi yang lain-lain, iaitu lebih kuat terlonta-lonta, mempunyai kadar degupan jantung yang lebih tinggi, menangis sambil memperaku asas genetik sebagai pengukuh bagi perkembangan malu, kebanyakan penyelidik percaya teras dasar bagi perasaan malu ialah 'kesedaran-kendiri'.

Ketika bayi berupaya 'mengekal objek' (umur 6–8 bulan) bermulalah wujudnya ketakutan perpisahan dengan pengasuh dan kegerunan kepada orang dewasa yang baru ditemui bagi membantu bayi untuk mengalami kesedaran-kendiri dan menjadi sensitif kepada unsur-unsur sosial di sekitarnya (Hyson & van Trieste, 1987).

Namun, perasaan malu yang asasi mula menjelma ketika kanak-kanak berumur satu setengah hingga dua tahun dan bagi kebanyakan kanak-kanak ketika berumur tiga tahun yang mana mereka mula mengalami kesedaran-kendiri dengan lebih jelas dan boleh menunjukkan perasaan negatif terhadap teguran-teguran yang diterima.

Sejak umur empat atau lima tahun keupayaan mengalami malu dapat dikesan dengan lebih nyata. Perasaan malu yang lebih ketara dapat dikesan ketika keupayaan kesedaran-kendiri dan kemahiran untuk meramal tentang penilaian negatif daripada orang lain berlaku dengan lebih teguh, iaitu ketika umur yang lebih lewat – sekitar umur lapan tahun.

Selaras dengan perkembangan kesedaran-kendiri, norma budaya dan model tingkah laku ibu bapa tentang kesopanan dan situasi yang memalukan seseorang juga turut menjadi asas perasaan malu.

Contohnya, sesetengah bangsa lebih malu daripada bangsa lain. Bangsa Israel merupakan bangsa yang paling tidak tahu malu. Cuma 31% responden Israel mengaku mereka malu. Bangsa Mexico mendapat tempat kedua dengan jumlah 39% (Beidel & Turner, 1998).

Kira-kira 45% daripada orang Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), dan 50% bangsa Jerman boleh disifatkan sebagai malu; manakala bangsa Perancis dan Jepun (60%) merupakan bangsa yang paling malu (USA Today Magazine, 1 Januari 1999). Sehubungan itu, kanak-kanak Cina didapati lebih bungkam berbanding kanak-kanak Caucasian.

Kanak-kanak Sweden lebih banyak mengalami ketidakselesaan sosial berbanding kanak-kanak AS. Beberapa tingkah laku dilabelkan oleh ibu bapa masing-masing dan juga dimodelkan oleh mereka sebagai malu dan perlu disekat. Terdapat juga ibu bapa yang terlampau mengawal anak-anak daripada berinteraksi secara sosial dan mereka pun menjadi malu (Hyson & van Trieste, 1987).

Ketinggian ukuran malu bayi berkorelasi negatif dengan penglibatan keluarga masing-masing dalam pertemuan-pertemuan budaya, pembelajaran perkara-perkara baru dan lawatan ke rumah rakan-rakan (Hudson & Rapee, 2000).

Komponen Emosi Malu

Emosi malu menjadi kental sekiranya si malu mempercayai dirinya serba kekurangan untuk tampil di khalayak dan penampilan tersebut akan menelanjangi kekurangannya kepada orang lain (Berman, 1999). Wujudlah perasaan gerun di khalayak dan si malu mengalami kesekatan sosial (social inhibition).

Mereka berasa risau jika membuat sesuatu yang bodoh, bahlul atau silap yang akan dihina serta mendapat keaiban atau ditolak. Dalam keadaan ini, si malu mengalami peningkatan kesedaran-kendiri (self-consciousness), kebimbangan (anxiety), kebungkaman (reticence) dan kesekatlakuan sosial (social inhibition).

Kebimbangan daripada jenis 'kebimbangan sosial' berkait rapat dengan perasaan malu. Ia tercetus ketika seseorang berasa gugup direnung oleh orang lain (Cottle, 1999). Kebimbangan sosial boleh muncul daripada paras rendah hingga ke tahap yang melampau.

Contohnya, kebimbangan yang rendah ialah perasaan takut kepada situasi sosial tertentu seperti takut hendak menggunakan tandas awam atau berpidato; dan kebimbangan yang melampau ialah ketakutan yang dipanggil 'fobia sosial'. Fobia sosial yang berkait dengan perasaan malu adalah daripada jenis kebimbangan perlakuan (performance anxiety) dan ketakutan pentas (stage fright).

Perasaan malu daripada jenis ini benar-benar menjadi fobia dan penyakit jiwa jika ketakutan yang dialami seseorang dalam situasi yang dihadapinya tidak kendur; malahan menjadi kian buruk sehingga mengganggu utauan, ujaran, pidato atau penyampaian (Colby, 2000).

Asas kekhuatiran komunikasi terbentuk jika seseorang dilemparkan dengan terlalu banyak teguran sejak dia mula belajar bercakap sehingga dia percaya bahawa dia hanya akan mendapat reaksi negatif dan secara konsekuen mengelak reaksi negatif tersebut dengan cara menjadi pendiam, berbual dengan buruk, mengelak komunikasi lisan dan seterusnya mengalami kekhuatiran komunikasi. Seseorang yang mengalami kekhuatiran komunikasi mudah tersekat perbualannya sehingga muncullah perasaan malu, suka bungkam dan seterusnya mengalami kesekatlakuan perbualan (Holbrook, 1987).

Akhir sekali, terdapat perasaan yang diistilahkan sebagai 'malu sinis' (cynical shyness) oleh Carducci (2000). Beliau menjelaskan si malu merupakan orang yang disingkirkan kerana tidak mempunyai kemahiran sosial. Mereka berasa amat marah, menyisihkan diri dan mengambil sikap superior. Pengasingan diri menutup pintu bagi mereka untuk berempati dengan orang lain, dan ini menjadikan mereka menghina orang lain dan membalas dendam kepada orang lain terhadap penyisihan yang mereka sendiri lakukan dengan menyemarakkan perasaan sinis (Carducci, 2000).

Malu dan Pencapaian Akademik

Dalam kelas, si malu menjadi tersekat laku, tidak yakin diri dan berkebimbangan sosial. Lebih buruk daripada ini mereka menjadi penyisih (withdrawn), tidak responsif, tidak komunikatif dan sentiasa berkhayal. Terdapat si malu yang menyisih oleh kerana sememangnya inilah sifat personaliti mereka; namun ada juga yang menyisih disebabkan faktor situasi yang memberi tekanan (Brophy, 1996). Tidak kira bagaimana si malu menjadi penyisih, mereka tentulah 'bagus' kerana tidak memberikan masalah disiplin dalam kelas.

Namun, mereka juga dianggap kurang pandai dan kurang diberikan tanggungjawab. Ini mengukuhkan lagi penilaian-kendiri mereka yang negatif terhadap diri sendiri. Akibatnya, mereka terjurus untuk mengelak kegagalan dan kurang bermotivasi pencapaian (Holbrook, 1987). Lazimnya, pencapaian akademik mereka tidak dapat dibanggakan walaupun ada di kalangan mereka yang layak masuk ke universiti.

Pelajar pemalu di universiti kurang meminta bantuan dalam pelajaran masing-masing. Mereka bungkam dan kurang aktif di universiti. Si malu cenderung menuduh diri sendiri apabila menghadapi kesukaran tanpa menyedari bahawa kemasukan ke universiti sebenarnya sukar bagi semua orang. Universiti merupakan tempat di mana ramai orang akan datang dan pergi silih berganti. Antaranya, terdapat orang yang perlu disaingi dan akhirnya dibandingkan keupayaan akademik masing-masing.

(Kajian Korelasi Emosi Malu dengan Pencapaian Akademik)

Kemungkinan pelajar yang pemalu tidak sempat mendaftar kursus yang benar-benar sesuai dengannya dan akhirnya memburukkan prestasi akademik sendiri. Ini diburukkan lagi sekiranya si malu mengalami kesekatlakuan komunikasi ketika ditanya soalan-soalan akademik, diminta membuat persembahan di khalayak atau menyediakan projek yang diberi penilaian (Brophy, 1996).

Crozier dan Garbert-Jones (1996) mengusulkan bahawa terdapat banyak pertindihan antara malu dengan kurang keyakinan diri. Pelajar pemalu didapati kurang yakin dengan keupayaan belajar mereka. Sekiranya pelajar pemalu merasakan pelajar-pelajar lain lebih pandai, mereka akan mengalami imej-kendiri akademik dan perasaan rendah diri. Terdapat banyak situasi yang boleh mencetuskan malu di universiti. Contohnya, bertemu dengan orang baru, menghadiri temu duga, berbual dengan pensyarah dan menghadiri tutorial.

Si malu menjadi segan hendak bertemu dengan pensyarah untuk berbincang. Pelajar pemalu akan merasa bimbang dan gerun untuk melibatkan diri dalam penghujahan dan perbincangan ketika menghadiri tutorial. Si pemalu terlalu bimbang dengan tutorial kerana risau sama ada dia berbual dengan betul, meninggalkan imej diri yang negatif dan menelanjangi kebodohannya di depan orang yang lebih pandai. Secara teorinya, pelajar pemalu di universiti merupakan 'budak baik' tetapi akan mengalami kemerosotan akademik.

Rabu, 2 September 2009

Malu...

Istilah malu mempunyai makna dan pengertian yang luas dalam Islam. Malu merupakan sebahagian daripada Iman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman.”Malu atau dalam bahasa Arabnya ‘haya’ berasal daripada perkataan ‘hayat’ yang bermaksud kehidupan.

Ia mencakupi sifat malu, memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.Dalam Islam, sifat malu ditekankan pada setiap umatnya tidak kira sama ada wanita atau lelaki.

Namun, wanita Muslimah ditekankan aspek menjaga maruah dan memiliki sifat malu memandangkan wanita merupakan golongan yang lemah, mempunyai 9 nafsu yang pelbagai serta dikatakan paling ramai menghuni neraka.

Tentang hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:Wanita khasnya dituntut mempunyai sifat malu terutama hal yang berkaitan maksiat dan larangan-larangan Allah. Apabila menghampiri hal-hal sebegini, mereka akan berasa malu, dan seterusnya memikirkan balasan Allah di dunia dan akhirat.Manakala malu yang bersifat kejahatan pula ialah malu melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah. Dalam hal ini mereka bukan sahaja melakukan apa yang dilarang oleh Allah, malahan melanggar sistem sosial masyarakat sehingga melupakan balasan di dunia dan akhirat.

KESAN POSITIF PERASAAN MALU

Sifat pemalu tidak akan menyekat pergerakan wanita untuk mengikuti perkembangan dunia semasa. Malahan wanita yang pemalu lebih berjaya bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga kelak. Malu adalah lambang iman yang akan membawa seseorang ke syurga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya” (Riwayat Bukhari)Pemalu bukan sahaja memperlihatkan kemanisan akhlak dan ketinggian akidah seseorang wanita.

Malah, memelihara diri wanita itu sendiri daripada kehinaan dan kemusnahan peribadi secara beransur-ansur. Percayalah bahawa sifat malu tidak akan menyisihkan anda dari arus globalisasi. Malah, anda akan lebih berkeyakinan serta jelas dengan tujuan anda untuk melakukan sesuatu perkara. Memelihara malu diri sendiri dan menjaga aib (malu) orang lain sangat penting dalam pembinaan bangsa yang bermaruah. Malu dikatakan perisai dan perhiasan kepada wanita dan juga lelaki , yang dapat menghalang mereka dari terjerumus kelembah kehinaan serta dosa zahir dan batin.

Diantara kesan sifat malu ialah:

Al-'iffah iaitu kesopanan yang menghalang diri daripada melakukan sesuatu perkara yang tidak baik dan keji.

Al-wafa' iaitu benar pada janji dan amanah. Al-Ahraf bin Qais berkata : " Dua perkara yang tidak terhimpun kedua-duanya selama-lamanya di dalam kehidupan manusia iaitu dusta dan maruah". Maruah yang dimaksudkan termasuklah benar, amanah, malu, dan kesopanan.

Sesungguhnya orang yang mempunyai sifat malu itu akan sentiasa dapat menahan diri daripada melakukan perbuatan mungkar yang boleh mendatangkan keaiban pada dirinya atau orang lain dan menyebabkan nama atau kedudukannya tercemar. Oleh demikian, secara tidak langsung sifat malu dapat membentuk akhlak seseorang itu, sentiasa menjaga adab, tutur kata, perangai dan kelakuan yang sopan serta mendidiknya supaya suka melakukan perkara yang baik lagi berfaedah.

Misalnya, jika kita malu dikatakan sebagai orang yang tidak beramanah, maka pasti kita akan berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya dapat menunaikan janji dan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik dan sempurna. Jika kita malu dikatakan sebagai penjenayah, maka pasti kita akan menjauhkan diri daripada terjerumus dalam perbuatan seperti mencuri, merompak, merogol, mendera, membunuh dan rasuah. Begitu pula jika kita malu untuk dikatakan sebagai seorang yang tidak beradab, sudah pasti kita akan menjaga akhlak dan tingkah laku serta penampilan diri sama ada dari sudut pakaian atau tingkah laku.

IMPLIKASI TIDAK MALU

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amir: “Sesungguhnya antara apa yang didapati manusia daripada ucapan nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu’.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW yang disampaikan Imran bin Hushain yang bermaksud: Malu itu tidaklah datang kecuali dengan membawa kebaikan. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)Abdullah bin Umar pernah mengatakan: Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis di atas menunjukkan bahawa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja tanpa dibatasi rasa takutkan seksaan Allah dan segan dipandang orang, sebaliknya berbuat apa saja tanpa memikirkan kesan perbuatan kepada diri sendiri, masyarakat, negara, bangsa atau agama.

Sebenarnya banyak perkara yang menjadi sebab berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini. Antaranya kerana hilang sifat malu dalam jiwa diri seseorang. Ketiadaan sifat malu pada diri seseorang, masyarakat dan pada sesuatu umat atau bangsa, akan memudahkan berlakunya segala macam kemungkaran.

Lantaran itu kehidupan manusia menjadi huru-hara, tiada lagi keamanan dan kesejahteraan.Ini menunjukkan betapa sifat malu mempunyai pengaruh dan kesan besar terhadap pembentukan akhlak dan tingkah laku seseorang serta pergaulan hidup sosial mereka. Oleh sebab tidak mempunyai perasaan malulah, seseorang itu sanggup membelakangkan dan melanggar hukum Allah. Mereka tidak lagi mengendahkan norma susila dan kesopanan hidup serta tidak mengenal lagi perikemanusiaan. Tingkah laku berubah menjadi kasar dan angkuh hingga tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan.

Jelas di sini bahawa sifat malu umpama perisai yang boleh mencegah seseorang daripada melakukan perkara mungkar dan maksiat. Malah, sifat malu juga menjadi kayu ukur terhadap tahap keimanan seseorang dalam menentukan tinggi rendah akhlaknya. Ini kerana sifat malu dan iman adalah komponen yang tidak boleh dipisahkan.

Hakikatnya, apabila seseorang manusia hilang atau tiada lagi sifat malu dalam dirinya, maka ketika itu tiada lagi perasaan segan silu untuk melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Malah, sentiasa tunduk mengikut tuntutan hawa nafsu. Ini kerana hati dan jiwanya telah buta dan rosak. Dalam dirinya tiada lagi perasaan belas kasihan dan kasih sayang.Wanita masa kini begitu liberal atau terbuka dalam banyak hal. Lihat sahaja golongan artis yang bebas berpakaian seksi dan banyak kali terlibat di dalam kancah skandal seks serta gambar dan video lucah mereka tersebar megah di dalam internet. Bukan artis sahaja, pelajar sekolah dan gadis remaja juga sering terlibat dengan penyakit sosial yang memalukan itu.

Secara realitinya, zaman dahulu fenomena wanita berpakaian seksi hanya terdapat di kelompok-kelompok tertentu dan di tempat-tempat tertentu. Malahan, hal-hal yang berkaitan ‘menconteng arang ke wajah’ juga sukar ditemui seperti kes khalwat atau zina, membuang anak, merokok, bergambar secara lucah, pelacuran dan sebaginya. Keterbukaan masyarakat dan pendedahan tentang dunia semasa membuatkan wanita mula membuang sifat malu ke sisi yang kononnya dikatakan sifat malu itu merencatkan pembangunan sosial dan kemajuan dalam dunia wanita.

Jadi kawan-kawan...anda memilih untuk malu atau tak malu?atau buat-buat tak tahu malu? Fikir-fikirkanla...